Kolaborasi agensi, NGO tingkatkan dakwah di Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Majlis Amal Islami Pahang (MAIP) bakal dibentuk sebagai sekretariat bersama antara agensi agama negeri dan Persekutuan serta NGO Islam dan dakwah di negeri ini.

- Advertisement -

Ia bertujuan menyelaras gerak kerja kebajikan dan dakwah yang lebih tersusun, berstrategik dan bersepadu antara institusi agama kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di Pahang.

Resolusi penubuhannya dicapai dari Persidangan Agensi Agama Bersama NGO Islam dan Dakwah Negeri Pahang yang diadakan di Sri Manja Boutique Hotel, di sini baru-baru ini.

Sekretariat tidak bersifat mengikat ini berperanan sebagai wadah silaturahim, kerjasama dan perkongsian pintar dengan dinaungi bersama Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dr Asmadi Abd Rahman, terdahulu dalam perasmiannya telah menghuraikan betapa pentingnya diwujudkan sekretariat bersama seumpama itu demi kepentingan dakwah. 

“Kita dapati sebahagian daripada team sahabat-sahabat NGO kita lemah dari sudut pengurusan, tetapi tidak dinafikan mantap dari sudut kewangannya, sudut sumber, struktur organisasinya. 

“Terdapat juga berlakunya pertindanan dalam gerak kerja NGO. Sebagai contohnya isu yang melibatkan golongan mak nyah, sepatutnya keutamaannya pada mereka yang dah ada membantu, kita hanya support.

“Bukan take over, masing-masing kejar kat situ, akhirnya kes yang lain tertinggal atau terabai. Sebab itu antaranya yang kita nak selaraskan,” ujar beliau. 

Menurut beliau, ada NGO telah sampai ke tahap antarabangsa dengan hubungan yang sangat hebat di mana mereka diharap dapat membantu dan berkongsi dalam sekretariat melalui seminar atau bengkel yang akan diwujudkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Mohd Fadzil Mat Seman berkongsi, terdapat 200 perkampungan Orang Asli di seluruh Pahang yang menjadi sasaran dakwah dan sudah pasti menjadi tanggungjawab berat dan bebanan banyak. 

“Cuma terserah kepada kita bagaimana kita hendak berkongsi, bagaimana kita hendak berkolaborasi, dalam agihan tugas terhadap mereka mengikut kemampuan dan kepakaran NGO masing-masing.

“JAIP juga ada merancang untuk menjadikan masjid angkat di perkampungan mereka supaya masjid tersebut dapat diurus dengan baik.

“Sebelum ini tiada lagi program-program rasmi diadakan mungkin selepas ini kita boleh bincang secara detail penyelarasan supaya tenaga kerja kita tidak tertumpu pada satu kawasan sahaja,” ujar beliau. 

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh pula berkata gerak kerja diadakan hendaklah bersepadu dengan meletakkan agenda memartabatkan ajaran Islam dan meletakkan kalimah Allah yang paling tinggi. 

“Apa sahaja kepentingan kita, minat kita tidak semestinya menghilangkan fokus kita yang paling besar iaitu kita ingin menonjolkan dan menyebarkan mesej Islam dan inilah peranan yang perlu dimainkan oleh setiap dari kita.

“Kita punya tugasan dan big picture, oleh sebab itu cerita-cerita kecil, pengalaman peribadi baik untuk dikongsi, elok untuk dipelajari tetapi jangan sampai ianya menjadi titik pemisah di antara NGO-NGO bersama dengan pihak berkuasa agama negeri. 

“Kalau kita sangat sibuk bercakap fasal isu operasi dan kita terlupa kepada kerangka besar sebagai NGO Islam untuk kembali kepada titik yang paling besar iaitu apakah sebenarnya nilai yang perlu ditawarkan kepada masyarakat

“Kita tidak boleh selama-lamanya memaksakan agenda kita kepada masyarakat. Apa yang boleh kita buat adalah membawa agenda masyarakat yang selari dengan ajaran Islam dan itulah tugas kita yang paling besar,” ujarnya lagi. 

Katanya, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2014 menunjukkan kegagalan untuk mengangkat agenda dasar kerajaan yang berkait dengan Islam untuk dilaksanakan apabila hanya 25 peratus NGO Islam yang bersama menyokong isu tersebut. 

Ini terangnya, menunjukkan bahawa selaku NGO Islam sekiranya tidak mengangkat dan tidak berbalik kepada dasar kerangka besar ini, maka sudah pasti amat sukar untuk kerajaan berdiri dengan dasarnya. 

Hadir sama ke majlis ini ialah Pengarah JAIP, Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz dan Ketua Unit Pembangunan Modal Insan, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Islam/Pendaftar Mualaf Pahang, Sh. Mohd Firdaus Sh. Othman.

Juga Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, Ustaz Azhar Yahya dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia YADIM Pahang, Ustaz Mohamad Hazmi Dibok. – HARAKAHDAILY 30/11/2021

- Advertisement -