137,793 orang terima Bantuan Warga Emas

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Seramai 137,793 warga emas yang memenuhi kriteria layak menerima Bantuan Warga Emas (BWE) di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat demi meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan kewangan berbentuk bantuan bulanan kepada warga emas yang berkelayakan.

- Advertisement -

Bagi skim insurans kepada warga emas, katanya perkara ini perlu diperincikan pada peringkat Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan,” katanya menjawab soalan lisan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Rubiah Wang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyatakan inisiatif dan pertimbangan kementerian dalam menyediakan skim insurans yang akan memberikan bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa hadapan.

Siti Zailah berkata, kementerian berpandangan bahawa peranan keluarga perlu diperkukuhkan bagi meningkatkan kesejahteraan ahli keluarga.

Sehubungan itu, katanya perkara ini perlu diperkukuhkan bagi meningkatkan kesejahteraan ahli keluarga selaras dengan tahap kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan yang memupuk semangat kebersamaan keluarga.

“Seterusnya, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai sikap berkhidmat kepada keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan seperti yang diterapkan dalam pendekatan ‘Keluarga Malaysia’,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/21

- Advertisement -