Omicron ‘bukan sebab untuk panik’ – Biden

Biden ketika berucap di Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat pada 29 Nov. (FOTO Reuters)

WASHINGTON: Joe Biden menggesa rakyat Amerika Syarikat untuk segera mendapatkan suntikan Covid-19 di tengah-tengah kebimbangan global mengenai varian Covid-19, Omicron, tetapi Presiden AS itu berkata, senario berkenaan harus dianggap sebagai ‘sebab yang membimbangkan, bukan sebab untuk panik’.

Dalam ucapan yang disampaikan di Rumah Putih pada hari Isnin (29 Nov), Biden berkata, pegawai kesihatan tertinggi Amerika Syarikat sedang berunding dengan pembuat vaksin terkemuka dan bersedia untuk kemungkinan membuat penambahbaikan dengan mengambil kira mutasi Omicron.

Advertisement

Namun, beliau menegaskan bahawa AS berada dalam kedudukan yang baik untuk mengawal potensi penyebaran Omicron tanpa perlu melakukan penutupan sempadan atau lebih banyak larangan perjalanan buat masa ini, lapor The Guardian

“Varian ini (Omicron) menimbulkan kebimbangan, bukan penyebab untuk panik. Jika anda telah divaksin tetapi masih bimbang tentang varian baharu itu, segera dapatkan suntikan penggalak anda. Jika anda belum divaksin, dapatkan suntikan vaksin,” tegas Biden.

Tambah Biden, Ketua Penasihat Perubatan, Dr Anthony Fauci menjangkakan vaksin sedia ada akan berfungsi melawan Omicron, dengan suntikan penggalak meningkatkan perlindungan. 

“Kami akan melawan varian baharu ini dengan tindakan dan kepantasan pengetahuan saintifik, bukan secara huru-hara dan kekeliruan,” katanya.

AS pada awal bulan ini memperluaskan cadangannya untuk suntikan penggalak kepada semua populasi dewasa di negara itu, tetapi data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menganggarkan 47 juta orang dewasa AS masih belum divaksin.

Larangan perjalanan ke AS dari Afrika Selatan dan tujuh negara Afrika lain berkuat kuasa pada hari Isnin (29 Nov), kerana negara-negara di seluruh dunia telah mengenakan sekatan perjalanan sejak beberapa hari lalu di tengah-tengah kebimbangan terhadap Omicron.

“Tujuan sekatan (perjalanan) tersebut adalah untuk memberi kita masa agar orang ramai divaksin,” kata Biden pada hari Isnin.

Dalam pada itu, biarpun tiada kes jangkitan Omicron dilaporkan di AS setakat ini, tetapi Fauci telah memberi amaran virus itu mungkin sudah ada di negara itu.

Ketika muncul dalam program Good Morning America, Fauci berkata, saintis berharap untuk mengetahui dalam satu atau dua minggu akan datang sejauh mana vaksin COVID-19 yang sedia ada mampu melawan Omicron, dan sejauh mana ia berbahayanya jika dibandingkan  dengan varian Terdahulu.

“Kami benar-benar tidak tahu (tentang Omicron),” ujar Fauci.

Sementara Dr Angelique Coetzee dari Persatuan Perubatan Afrika Selatan, yang pertama kali mengesan Omicron di Afrika Selatan pada minggu lepasi, dalam kenyataannya kepada Al Jazeera pada hari Isnin (29 Nov) berkata, individu yang dijangkiti Omicron setakat ini kelihatan mempunyai ‘gejala yang sangat ringan’, terutamanya mereka yang disuntik vaksin selepas  bulan Ogos tahun ini.

Di luar Afrika Selatan, varian Omicron telah dikesan di lebih 10 negara termasuk Kanada, Australia, Portugal, Switzerland, United Kingdom dan Mozambique, serta terbaharu, di Australia berikutan kes dua penumpang kapal terbang Singapore Airlines yang terbang dari Afrika Selatan dan transit di Singapura sebelum mendarat di Sydney.

Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, biarpun tiada kematian berkaitan Omicron dilaporkan, namun risiko global daripada penyebaran Omicron adalah ‘sangat tinggi’ dan menggesa 194 negara anggota untuk mempercepatkan penghantaran vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi. – HARAKAHDAILY 30/11/2021