Trend kehadiran murid ke sekolah lebih 85 peratus

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Purata trend kehadiran murid ke sekolah melebihi 85 peratus bagi tempoh 3 Oktober lalu sehingga semalam.

Menteri Kanan Pendidikan, Dato’ Dr Radzi Jidin, berkata keadaan ini menunjukkan bahawa pembukaan semula sekolah secara umum diterima baik oleh ibu bapa dan murid.

Advertisement

Katanya, pembukaan semula sekolah secara bersemuka membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.

“KPM sentiasa komited untuk terus memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta Menteri Kanan Pendidikan, menyatakan perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara dan penerimaan guru, murid dan ibu bapa secara umum mengenai pembukaan sekolah.

Dr Radzi berkata, KPM telah merangka satu pelan komprehensif pembukaan semula sekolah bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka di sekolah dalam keadaan selamat.

Katanya, KPM mengadakan libat urus bersama ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS), guru dan murid bagi mendapatkan pandangan bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

“Sesi libat urus juga membabitkan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM).

“Dapatan daripada sesi libat urus menunjukkan guru, ibu bapa dan murid menyambut baik pengoperasian sekolah secara bersemuka,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod sehingga semalam, semua sekolah rendah dan sekolah menengah bawah KPM di negeri yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah beroperasi sepenuhnya.

“Jumlah sekolah yang beroperasi ialah 8,166 buah sekolah, iaitu 6,091 sekolah rendah dan 2,075 sekolah menengah. Jumlah murid pula seramai 4,251,221 orang, iaitu 2,517,233 orang murid sekolah rendah dan 1,733,988 orang murid sekolah menengah,” katanya.

Menurutnya, bagi negeri Kelantan dan Sarawak yang berada dalam Fasa 3 PPN, terdapat 1,894 buah sekolah beroperasi, melibatkan 1,526 buah sekolah rendah dan 368 buah sekolah menengah.

“Pengoperasian secara bersemuka bagi sekolah rendah di negeri ini hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, murid kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah dengan jumlah keseluruhan seramai 49,563 orang.

“Bagi sekolah menengah pula, pengoperasian secara bersemuka melibatkan murid kelas peperiksaan, MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas dan murid kelas PPKI dengan jumlah murid seramai 84,497 orang,” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya bilangan sekolah yang sedang beroperasi adalah sebanyak 10,060 buah sekolah dan melibatkan seramai 4,385,281 orang murid,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2021