Lebih berhati-hati dengan sifat malu

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar masyarakat sentiasa mempunyai sifat malu kerana menerusi sifat itu kehidupan manusia akan lebih terjaga dan terpelihara.

“Sifat malu akan mencegah dan menjauhkan seseorang itu daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan dosa, berkelakuan buruk, hina dan tercela.

- Advertisement -

“Selain itu, ia juga akan membuatkan seseorang itu lebih berhati-hati dalam gerak-geri dan tingkah laku sama ada perkataan mahupun perbuatan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), semalam.

Seramai 30 orang asnaf dari kalangan anak kariah Masjid Al Mubarok, Tasoh, Padang Besar dipilih untuk menerima wang tunai berjumlah RM700 setiap orang oleh amil masjid berkenaan, Ustaz Hashim Othman Al Hafiz.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu. – HARAKAHDAILY 29/11/2021

- Advertisement -