Waspada wabak JE di Kota Setar

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Daerah Kota Setar diisytiharkan kawasan wabak Japanese Encephalitis (JE) apabila berlaku dua kematian yang berpunca daripadanya.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) Dr. Othman Warijo berkata, kes pertama dilaporkan pada 18 November lalu disusuli kes kedua pada 25 November.

- Advertisement -

Menurutnya jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di negeri ini sehingga Khamis lalu adalah 10 kes berbanding lapan kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus dengan tiga daripada 10 kes telah meninggal dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu jelasnya, aktiviti kawalan wabak dilaksanakan serta merta oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar bersama JKNK sendiri.

Antaranya kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

Menurutnya juga, kajian entomologi oleh Pegawai Sains Kaji Serangga di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) dilakukan di sekitar kawasan terlibat.

“Bagi mencegah penularan penyakit JE, orang ramai digalakkan memakai pakaian berwarna cerah, berlengan panjang dan seluar panjang apabila berada di luar rumah.

“Semburkan rumah dengan ubat pembunuh nyamuk terutama sekitar jam 10 malam serta amalkan kebersihan persekitaran dan musnahkan tempat pembiakan nyamuk,” jelas beliau.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala demam, sakit kepala dan muntah. – HARAKAHDAILY 29/11/2021

- Advertisement -