Malaysia tegas tidak eksport tenaga elektrik dari Tenaga Boleh Baharu

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengeksport tenaga elektrik dari Tenaga Boleh Baharu (TBB), suatu tindakan yang dibuat demi kelebihan dan manfaat kepada rakyat dan negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan ini dibuat oleh Kabinet kerana tidak menjual tenaga elektrik dari TBB lebih menguntungkan negara.

- Advertisement -

Malah, katanya kerajaan perlu meningkatkan penjanaan elektrik dari sumber TBB yang jika dieksport keluar negara menguntungkan negara yang membeli.

“Saya nak jelaskan, banyak pelabur RE100 (syarkat tenaga diperbaharui) akan pergi ke negara yang mempunyai bekalan TBB yang banyak. Oleh itu, kita tidak jual. Ini adalah keputusan Kabinet ketika saya menjadi menteri, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bakri yang juga bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, ketika perbahasan menyifatkan keengganan kerajaan menjual tenaga elektrik dari TBB kepada Singapura sebagai merugikan negara.

Selain itu, Takiyuddin berkata kerajaan tidak menjual tenaga elektrik dari TBB bagi memenuhi Perjanjian Paris yang menetapkan setiap negara, termasuk Malaysia untuk mengurangkan pembebasan karbon setiap lima tahun melalui laporan yang dikenali dengan sumbangan nasional yang ditentukan.

Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen bahawa Malaysia terpaksa menanggung kos melepas kerana tanah yang digunakan untuk pembangunan loji TBB tidak boleh digunakan untuk tujuan lain bagi suatu tempoh yang panjang, sekali gus lebih menguntungkan tenaga itu tidak dieksport.

Sementara itu mengulas konflik gajah di negara ini, katanya KeTSA telah membangunkan kawasan perlindungan gajah, iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang, Pusat Konservasi Sungai Deka, Terengganu dan Pusat Santuari Gajah di Kota Tinggi, Johor.

Katanya, sebuah lagi pusat konservasi akan dibangunkan di Perak dengan nama Santuari Gajah Perak.

“Saya mengakui bahawa gajah memang menimbulkan masalah dan keadaan ini berlaku kerana habitat semula jadinya telah diganggu,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menguruskan konflik gajah serta menggunakan teknologi seperti kolar satelit gajah bagi memantau pergerakan gajah. – HARAKAHDAILY 29/11/21

- Advertisement -