Galakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak penggunaan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Menurutnya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) baru sahaja melancarkan Tarif Elektrik Hijau (GET) bagi menawarkan bekalan elektrik daripada sumber TBB kepada mana-mana pihak yang ingin mengurangkan penggunaan jejak karbon.

Advertisement

Katanya, inisiatif ini amat bertepatan bagi merealisasikan sasaran kerajaan untuk pelepasan gas rumah kaca (GHG) dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“Usaha ini juga mampu menarik lebih banyak syarikat melabur di negara kita, terutama syarikat REC 100 yang memperdagangkan Sijil Tenaga Diperbaharui.

“Oleh itu, apakah pencapaian semasa kapasiti penjanaan elektrik dari sumber TBB dan apakah usaha kerajaan bagi mencapai sasaran 35 peratus kapasiti TBB dalam penjanaan elektrik negara,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi KeTSA di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Shaharizukirnain juga meminta kerajaan menangani konflik gajah yang memusnahkan kebun kelapa sawit peneroka di Kampung Hulu Seladang, Setiu sehingga mereka kehilangan pendapatan.

“Adakah peruntukan bagi menambah bilangan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menangani masalah ini.

“Sebelum ini, kakitangan jabatan berkenaan terpaksa menempuh jalan sejauh 20 kilometer untuk memindahkan gajah seperti yang berlaku di sini,” katanya.

Bahkan pada minggu lalu, katanya seramai 200 peneroka kehilangan pendapatan akibat kebun kelapa sawit yang diusahakan sejak 10 tahun lalu dimusnahkan gajah.

“Adakah kementerian mempunyai bantuan untuk petani yang mengalami kerugian dan berapakah jumlah yang diagihkan kepada mereka,” katanya.

Beliau juga berpandangan KeTSA perlu menggerakkan usaha penghijauan negara melalui kempen penanaman satu juta pokok dan langkah kerajaan menarik lebih ramai anak muda menyertai kempen ini.

“Kempen ini amat perlu bagi menyedarkan rakyat mengenai kepentingan memelihara kawasan berhutan dan meneruskan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan.

Sementara itu berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan antara 2015 sehingga 2018 mendapati bilangan Harimau Malaya adalah kurang daripada 200 ekor.

“Data ini menunjukkan populasi Harimau Malaya amat membimbangkan, Jika tiada tindakan drastik pihak kementerian, tidak mustahil suatu masa nanti Malaysia tidak lagi mempunyai populasi Harimau Malaya dalam tempoh lima tahun.

“Oleh itu, usaha kerajaan melancarkan Kempen Selamatkan Harimau Malaya amat tepat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/21