Semua lokasi pangkalan TUDM sedia ada dikekalkan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpendirian bahawa tiada keperluan untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedia ada.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, berkata pangkalan TUDM dikekalkan walaupun terletak di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi, selagi menepati piawaian yang ditetapkan.

- Advertisement -

Katanya, faktor keselamatan penerbangan di semua pangkalan TUDM mengambil kira kriteria keselamatan seperti keselamatan persekitaran landasan terbang, termasuk laluan berlepas dan mendarat.

“Semua landasan terbang di pangkalan TUDM juga mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang diaudit secara berkala oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.

“Walaupun terletak di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi, selagi menepati piawaian maka tiada keperluan untuk pihak MINDEF dan ATM untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan TUDM sedia ada,” katanya menjawab soalan Dato’ Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) di sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Hishammuddin berkata, semua operasi penerbangan pesawat TUDM juga tertakluk mengikut standard prosedur dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dengan tahap pematuhan tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenarkan untuk dilaksanakan.

Katanya, ini termasuk prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pengeluar Peralatan Asal (OEM).

Selain itu, katanya setiap penerbangan pesawat perlu mematuhi prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang berdasarkan piawaian penerbangan pihak berkuasa dalam negara.

“Semua ini adalah merupakan prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi penerbangan pesawat, selain piawaian ketat yang ditetapkan oleh ICAO bagi semua pangkalan TUDM.

“InsyaAllah, MINDEF dan ATM akan berusaha untuk menambah baik SOP dan langkah keselamatan sedia ada demi memastikan keselamatan anggota dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Dato’ Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang memohon kerajaan mempertimbangkan penggantian pesawat Hawk 108/208 secara sistematik dengan segera, katanya kerajaan sedang dalam proses menilai tender terbuka perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) bagi menggantikan pesawat Hawk.

Hishammuddin berkata, tender terbuka antarabangsa bagi perolehan itu sudah ditutup pada 6 Oktober lalu.

“Kerajaan sudah merancang secara sistematik penggantian pesawat Hawk 108/208 seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55) dan telah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu FLIT-LCA melalui Rolling Plan 1 2021. – HARAKAHDAILY 25/11/21

- Advertisement -