PRN Melaka, tiada yang berubah

- Advertisement -

HAMPIR seminggu keputusan PRN Melaka dan pemenangnya telah dinobatkan. Seperti yang dijangka, BN menang. Dan dalam jangkaan juga, pengundi menunjukkan protes, dengan peratus keluar mengundi kurang hampir 20 peratus berbanding 2018. 

Kepada PH, ia menyaksikan kegagalan mereka mempertahankan Melaka. BN juga terkena tempias yang kuat dengan kehilangan banyak undi teras mereka. PN pula mendapat pertambahan undi walaupun pertama kali bergandingan disertai Gerakan.

- Advertisement -

Bagi parti yang dikuasai Cina, mereka masih seperti dahulu, bijak merancang. Dalam kebencian mereka kepada PAS, Gerakan bersikap lunak bagi membolehkan mereka mengambil watak ‘mudharat yang kecil’ yang sebelum ini dipegang oleh DAP dan MCA, bagi mengadakan kerjasama politik yang PAS berada di dalamnya.

Strategi menahan lukah di penggentingan sebegini sudah dimaklumi semua. Mereka mahukan keuntungan bagi bangsa mereka. Jika BN menang, MCA ada. Jika PH menang, DAP akan membantu dan jika PN menang, Gerakan akan menjalankan tugas. 

Baguslah, mereka memikirkan dan merancang sudah lama untuk kaum mereka. Kita sahaja yang lalai. Tetapi kita juga sama, berfikiran sedemikian. Cumanya, kisah bangsa kita, masih seperti dahulu, banyak bertelagah daripada bermesyuwarah untuk merealisasikannya.

Tidak merubah juga sikap sesetengah pihak yang semakin membongkak, menyerlahkan perangai mereka yang kita sebenarnya tahu. Tetapi yang saya cuba untuk ketengahkan di sini ialah sikap ahli PAS yang masih juga tidak berubah. 

Bak pesan orang bijak pandai, kita mesti menumpukan kepada perkara yang kita boleh menguasai dan ubah. Kita tidak perlu sangat melihat kepada hal yang di luar kawalan kita seperti kelakuan parti-parti lain. Kita tidak menguasai mereka. Kita hanya menguasai kita.

Sikap memualkan segelintir ahli PAS ialah apabila setiap kali adanya ijtihad politik, maka akan beramai-ramailah mereka menjadi ahli ‘Majlis Syura Ulamak (MSU)’ jadian yang turut sama bermesyuarat di media sosial selepas keputusan ijtihad itu dimaklumkan. 

Segelintir mereka ini akan beramai-ramai memprotes keputusan MSU bagaikan MSU dianggotai oleh manusia-manusia jahil yang tidak tahu membuat keputusan berlandaskan syarak dan keadaan semasa.

Tidak puas dengan melawan keputusan, ada pula antara mereka yang berkempen menolak keputusan. Ada yang mendiamkan diri bagaikan ‘aku tak terlibat dengan keputusan ini’. Ada yang lebih parah mendoakan kekalahan, biar padan muka MSU, biar dia rasa. Tidak kurang juga ada yang menyokong parti lawan PAS.

Dan bila tibanya hari keputusan, mereka akan menyindir sinis beramai-ramai akan kekalahan yang diterima, konon bagi mereka, jika tidak meneruskan rancangan ijtihad yang berlawanan dengan mereka, maka PAS akan menang. 

Ayat-ayat seperti ‘kan aku dah kata…’ ‘dah agak dah…’ Kita tidak tahu bagaimana mereka berkomunikasi dengan Allah sehingga tahu keputusan masa hadapan.

Sikap ini jelas tidak berubah. Ketika dahulu PAS bersetuju untuk bergandingan dengan Perikatan, ada ahli PAS yang keluar parti, sehingga sanggup menyokong Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) yang berlambangkan kepala lembu itu. 

Sewaktu bersama Semangat 46, hal yang sama berlaku. Bila bersekutu dengan PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif dan juga Pakatan Rakyat, ada juga yang memboikot. Bersama Umno dalam MN, dimarahi. Memilih BERSATU untuk PN dikata tidak cerdik kerana Umno lebih kuat.

Sesuatu yang dilupakan segelintir orang-orang sebegini ialah, mereka telah menyerahkan urusan kepimpinan kepada pemimpin yang dipilih dalam muktamar. Setelah diangkat, mereka kemudiannya lupa, orang yang diangkat mereka itu pula yang mereka tentang keputusannya. 

Mereka mahu mendengar keputusan yang mereka sukai, bukan menyukai keputusan pimpinan sebagaimana pesan Rasulullah S.A.W untuk taat kepada pimpinan dalam perkara yang disukai atau tidak.

Rasanya agak bermasalah juga jika terlalu ramai cerdik pandai berada dalam jemaah. Semua mahu mengulas, yakni mengeluarkan pendapat bertentangan dengan MSU. Maksud saya golongan yang perasan dirinya cerdik dan pandai. Mungkin sebab itulah Islam dahulu berjaya kerana ia disokong oleh orang miskin dan dhaif yang tidak memandai-mandai dalam urusan kepimpinan. 

Kuliah pencerahan berkenaan ibrah daripada Sulh Hudaibiyyah dan juga Perang Uhud, telah lama kita dengar dan hadam, tetapi terkadang ia dirasakan tidak dipraktikkan dalam hal berkenaan kepatuhan kepada arahan pimpinan dalam berjemaah. Mana silapnya?

Yang saya katakan ini ialah kepada segelintir ahli PAS atau yang mendakwa menyokong PAS, tetapi sentiasa mengkritik. Bukan tidak boleh mengkritik, tetapi tengoklah diri kita. Yang peliknya, serangan kepada lawan, tidak pula banyak dibuat. Yang teguh bersama kepimpinan, semoga kekal dengan ketaatan. Apa pun walak ahli PAS tetap tidak terkalahkan oleh mana-mana ahli parti lain.

MOHD NASIR ABDULLAH
25 November 2021 – HARAKAHDAILY 25/11/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -