Manuskrip tulisan Jawi dapat pengiktirafan UNESCO

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Jabatan Warisan Negara berjaya mengangkat martabat tulisan Jawi melalui pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap empat manuskrip tulisan Jawi negara ini.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, berkata empat manuskrip bertulisan Jawi berkenaan ialah Batu Bersurat Terengganu, Surat-Surat Sultan Kedah 1880-1943, Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Warisan Negara kerana berjaya mengangkat martabat tulisan Jawi melalui empat dokumen yang berkepentingan dunia dan milik sejagat.

“Saya mencadangkan Jabatan Warisan Negara yang menerima peruntukan RM20 juta dalam Bajet 2022 ditambah peruntukan bagi merancakkan penyelidikan bertaraf dunia untuk membongkar manuskrip lain yang masih tersimpan. Ini mampu mengangkat lebih banyak hasil penyelidikan mendapat pengiktirafan UNESCO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kerana berjaya mempersadakan tulisan Jawi melalui rancangan Klinik Jawi di Radio IKIM yang memasuki tahun ke-10 sejak mula diperkenalkan pada 2 Jun 2012.

Beliau menyarankan program tulisan Jawi disemarakkan di medium nasional supaya pembabitan masyarakat pelbagai kaum dapat diintegrasikan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Tulisan Jawi juga boleh dinaikkan di papan tanda jalan raya dan papan iklan, terutama di kawasan tumpuan pelancong dan jabatan kerajaan bagi memastikan generasi muda tidak melupai tulisan Jawi sebagai warisan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/21

- Advertisement -