Golongan B40, asnaf terima bantuan lebih RM41,000

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

LANGKAWI:
Golongan B40, asnaf serta pihak terkesan akibat Covid-19 menerima bantuan berjumlah RM41,600 sempena Program Ziarah Musaadah Menyantuni Asnaf dan penduduk, di sini, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -

Majlis perasmian program itu disempurnakan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Shahrul Kamal Osman.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Ruslan Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.

Menurut Ruslan, inisiatif itu merupakan manifestasi pendekatan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sumbangan yang diberikan ini adalah untuk membantu penduduk yang mengalami penyakit kronik, masalah kewangan, bantuan pelajaran anak serta bantuan untuk masjid.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya pengisian rohani melalui slot kuliah Maghrib di Masjid Al-Wafa, oleh Pegawai SPRM Putrajaya, Lokman Mohd Hosni.

Selain itu, kuliah Subuh di beberapa masjid antaranya di Masjid Al-Hijrah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.

Kuliah subuh di Masjid Al-Hana oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni turut diadakan dan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi JAKIM. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -