Peniaga di Rantau Panjang siap sedia hadapi banjir

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Biarpun peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang kembali rancak selepas rentas negeri dibenarkan, kini mereka berdepan pula dengan kehadiran musim tengkujuh.

Pekan Rantau Panjang antara kawasan sering dilanda banjir ekoran limpahan Sungai Golok yang berlaku hampir setiap tahun.

Tinjauan Harakahdaily hari ini rata-rata peniaga di pekan itu mula bersiap sedia menghadapi banjir memandangkan musim tengkujuh sudah bermula sekarang.

- Advertisement -

Meskipun pun sahaja menarik nafas lega selepas perniagaan kembali rancak, kini berdepan dengan pula dengan kehadiran banjir.

Seorang peniaga pakaian, Nur Fatihah Rahim, 29, berkata beliau sudah bersedia aspek fizikal dan mental untuk menghadapi bencana banjir termasuk mengambil langkah meletak barang jualan di tempat selamat.

Bagaimanapun, beliau berharap banjir tidak besar berlaku tahun ini biarpun hujan mencurah-curah kebelakangan ini.

“Saya sudah lama berniaga di sini, terpaksa menghadapi banjir setiap akhir tahun. Kami tiada masalah kerana sudah biasa dengan situasi tersebut.

“Deretan kedai di sini biasanya ditutup apabila banjir melanda bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui.

Setiap hujung tahun biasanya Pekan Rantau Panjang ditenggelami air bah ekoran limpahan Sungai Golok. Malah hujan lebat minggu lepas menyebabkan rumah penduduk yang terletak tidak jauh dari Sungai Golok dibanjiri air.

Seorang lagi peniaga Siti Nur Hidayah Abdul Taib, 22, berkata, beliau bersyukur setelah aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi.

“Alhamdulillah, selepas premis dibenarkan beroperasi memberi rasa lega lah, tetapi melihat keadaan sekarang yang mana cuaca selalu hujan dan kita bakal hadap musim banjir tidak lama lagi agak merisaukan juga.

“Tetapi nak buat macam mana banjir sememangnya kita dapat agak melanda setiap tahun, dan pastinya persiapan menghadapi banjir telah dibuat.

“Kebiasaanya pakaian-pakaian dan barangan yang dijual kita letak di tempat yang lebih tinggi dan selamat untuk mengelakkan daripada ditengelami air,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -