Pemilik ternakan berkeliaran perlu dikenakan tindakan keras

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Isu haiwan ternakan berkeliaran membimbangkan serta memerlukan pihak berkuasa melakukan tindakan penguatkuasaan lebih tegas kepada pemilik haiwan.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata isu ternakan berkeliaran telah lama berlaku, bahkan terdapat undang-undang yang membolehkan pemilik haiwan dikenakan hukuman.

Advertisement

“Tidak dinafikan, penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 membolehkan pemilik dikenakan hukuman keras, termasuk penjara.

“Namun, isu ini dilihat masih lagi berleluasa. Justeru itu, kita memerlukan penguatkuasaan yang lebih tegas kepada pemilik ternakan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain turut bertanya jika MAFI bercadang untuk meneliti semula langkah penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi menangani isu ternakan berkeliaran.

Selain itu, beliau meminta MAFI menjelaskan sebarang inisiatif dalam memastikan pemilik haiwan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Sebagai contoh, katanya adalah seperti meletakkan tag nama kepada setiap ternakan mereka.

Sementara itu, beliau turut meminta MAFI menjelaskan berhubung kenaikan mendadak harga input pertanian sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, masalah itu membebankan petani sehingga terdapat pesawah yang terpaksa membuat pinjaman sehingga RM10,000 daripada broker bagi memastikan tanaman padi tidak terjejas.

“Di Terengganu, golongan petani mendakwa kenaikan harga racun rumpai dan baja sehingga dua kali ganda dalam satu musim memang membebankan mereka dan jika dibiarkan, petani terpaksa gulung tikar.

“Oleh itu, MAFI perlu mengawal harga racun supaya tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2021