Hukuman lebih berat terhadap jenayah seksual kanak-kanak

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksual kanak-kanak, terutama yang membabitkan eksploitasi golongan berkenaan.

Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata pihaknya mengambil langkah proaktif melaksanakan tindakan pencegahan lebih pantas melalui platform dalam talian bagi mengekang sebarang aplikasi di laman web yang mengeksploitasi kanak-kanak.

- Advertisement -

Menurutnya, KPWKM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) turut bergiat aktif membendung isu pengantunan kanak-kanak (child grooming) melalui pelbagai inisiatif.

“Ini termasuk penghasilan pelbagai program seperti kempen dan video bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat, terutama membabitkan eksploitasi terhadap kanak-kanak,” katanya menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, kesalahan pengantunan kanak-kanak dimasukkan dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan hukuman sebat.

Katanya, akta itu adalah di bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).

“Akta ini digubal untuk memberi perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak, melindungi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak serta sebagai pencegahan yang berkesan bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan yang mengambil berat isu jenayah terhadap kanak-kanak melalui peruntukan RM13 juta serta pertambahan jawatan di PDRM bagi menangani isu tersebut. – HARAKAHDAILY 24/11/21

- Advertisement -