Skuad Khas atasi longkang tersumbat di Kota Bharu

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengakui sistem perparitan dan saliran sekitar bandar Kota Bharu berhadapan dengan masalah sampah yang dibawa angin, lalu mengakibatkan longkang tersumbat dan telah menubuhkan Skuad Bersih Indah (SBI) bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan bagi mengatasi masalah tersebut.

Pengarah Perkhidmatan Bandar MPKB-BRI, Ropein Hasan berkata, longkang di sekitar bandar tersebut adalah jenis terbuka yang akan menyebabkan sampah terkumpul di dalamnya apabila ia dterbangkan angin.

- Advertisement -

“Disebabkan longkang jenis terdedah, kira cuci macam mana pun, angin tetap akan bawa masuk semula  sampah, tetapi kerana kekangan peruntukan kita tidak boleh tutup semua longkang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada program “Kecek kiro’ bersama Pengarah Pengurusan Korporat MPKB-BRI, Azman Mohd Daham yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasminya hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan aduan daripada orang ramai kepada pihaknya mengenai longkang tersumbat bagi mengatasi berlaku masalah banjir kilat.

“Kawasan kilang dan mana-mana kawasan perumahan jika didapati hujan lebat boleh menyebabkan berlaku banjir, kena buat aduan kepada kami, kita sedia menerima aduan dan mengatasi masalah tersebut dengan adanya SBI,” ujarnya.

Ropein juga berkata, MPKB-BRI bersedia menghadapi enam siri hujan lebat yang dijangka berlaku ekoran musim Monsun Timur Laut berlarutan dari sekarang sehingga Mac tahun depan.

Menurutnya, hujan lebat sejak  dua minggu lalu telah menyebabkan beberapa lokasi sekitar Kota Bharu dilanda banjir kilat yang didakwa berpunca dari longkang yang tersumbat.

“Memang benar berlaku banjir kilat dua minggu lalu dan kita menerima banyak aduan mengenai kejadian tersebut, jadi kita tidak boleh buat apa apabila air melimpah dari longkang.

“Pada hari (kejadian) itu juga saya minta buat kerja (pembaikan) tetapi disebabkan sangat banyak aduan diterima, pihak kami tidak hanya dapat selesaikan masalah berkenaan di Simpang Tiga Padang Tembak Pengkalan Chepa sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2021

- Advertisement -