Siapa yang mencabul Rukun Negara sebenarnya?

- Advertisement -

SAYA mengambil sedikit masa untuk mengulas posting pemimpin DAP Lim Kit Siang yang kini hangat viral di media sosial. Penelitian perlu dibuat kerana tokoh ini orang lama dan beliau sangat tahu apa yang sebenarnya berlaku di awal-awal tempoh kemerdekaan sehingga lahirnya Rukun Negara pada 31 Ogos, 1970.

Posting beliau bermaksud memberi amaran kepada rakyat khasnya pengundi di Melaka, bahawa langkah pengharaman aktiviti judi di Kedah telah melanggar dan mencabuli prinsip pembinaan negara bangsa yang dihasratkan oleh Rukun Negara. Oleh itu rakyat Melaka perlu tolak PAS, PN dan BN bermaksud undilah DAP dan PH untuk menyelamatkan keadaan.

- Advertisement -

Saya tidak nampak di mana tindakan pengharaman operasi judi di Kedah sebagaimana sebelumnya di Kelantan sejak 8 Disember 1990 dan Terengganu sejak 31 Mac 2000 itu telah mengakibatkan tercabul prinsip pembinaan negara bangsa sebagaimana dihasratkan Rukun Negara. Ikut sejarah Rukun Negara ini diperkenalkan pasca Tragedi 13 Mei 1969. 

Sejak sebelum Merdeka sehinggalah selepasnya, rakyat Malaysia berbilang kaum hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai dengan semangat toleransi yang cukup tinggi. Orang-orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk asal dalam negara menerima kaum Cina dan India yang diberikan kerakyatan untuk bersama kongsi tanah bertuah ini sebagai sesama warganegara, bersama cari rezeki, bersama membangunkannya dan lebih penting bersama mendaulatkan kemerdekaannya.

Hak dan keistimewaan orang-orang Melayu Bumiputera dihormati dan tidak diganggu manakala hak masyarakat bukan-Melayu untuk mengamalkan adat dan budaya mereka juga dihormati. Tidak pernah tercetus konflik atau ketegangan.

Tetapi pada kempen PRU 1969, parti-parti pembangkang ketika itu telah membakar api perkauman dengan mempertikaikan hak istimewa ini. Menurut laporan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) juga turut mengambil kesempatan. Kit Siang ketika itu bertanding dan beliau tahu bahang api perkauman yang terbakar.

Ringkasnya sebagaimana kita semua ketahui akibat situasi terlalu panas, tercetuslah perbalahan kaum dan rusuhan sehingga ramai yang terkorban dan tercedera. Malaysia melalui zaman gelapnya hanya pada usia 12 tahun Merdeka akibat politik ekstrem yang diamalkan pihak-pihak tertentu, pasti Kit Siang masih ingat.

Lalu lahirlah Rukun Negara atas tragedi berkenaan bagi membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat agar tidak mudah berbalah dan bersengketa lagi sehingga mencetuskan huru-hara. Antara matlamat Rukun Negara ialah mewujudkan masyarakat Malaysia ke arah mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat. Itu sejarahnya, kita perlu belajar dari sejarah jika tidak kita akan tersilap mengulanginya.

Kenapa hari ini apabila Kedah melarang operasi perjudian, mengikut peraturan dan prosedur sedia ada, tanpa melanggar mana-mana undang-undang atau diskriminasi, Kit Siang mendakwa telah berlaku pencabulan prinsip pembinaan negara bangsa sebagaimana dikehendaki Rukun Negara?

Kedah mahu memelihara rakyatnya dari tercebur dalam aktiviti yang meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat, sesuatu yang tidak sihat buat pembinaan sebuah negara bangsa, dan mereka menggunakan kuasa politik, mandat yang diberikan rakyat untuk menguatkuasakannya, di mana pula ia melanggar Rukun Negara?

Jika rakyat tidak bersetuju rakyat boleh menolak kerajaan negeri ini dalam PRU akan datang tanpa perlu Kit Siang menghasut dengan kenyataan seumpama ini.

Malah tindak-tanduk Kit Siang dalam isu ini jika tidak dikawal sesungguhnya boleh mencetuskan kebencian dan ketegangan lantas mencacat dan merosakkan Rukun Negara yang didukung semua rakyat.

Biarlah rakyat Melaka memutuskan apa yang terbaik buat mereka dalam PRN ini dan rakyat Kedah nanti jika termakan hasutan Kit Siang bolehlah membuat perubahan dalam PRU akan datang. Sementara itu sama-sama kita memelihara keharmonian dan keamanan dalam negara. Tolak DAP dan PH di PRN Melaka.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 18/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100009880363600/posts/1643147476024582/

- Advertisement -