Rakyat Melaka tidak kompromi calon lompat parti

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Melaka yang bakal mengundi 20 November ini hendaklah menolak calon yang menyusahkan mereka terutamanya wakil rakyat yang melompat parti.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari sebaliknya berkata, pengundi disaran mengundi calon-calon yang ada integriti dan tidak akan melompat setelah diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Katanya, kemunculan calon yang melompat parti menyebabkan PRN Melaka terpaksa diadakan semula.

“Malah berdasar maklumat yang diperolehi, rakyat Melaka tidak kompromi dengan isu-isu tersebut dan bersedia menolak calon-calon yang melompat parti.

- Advertisement -

“Sepanjang saya berada di Melaka didapati sentimen rakyat Melaka agak tinggi untuk menolak sebarang ahli politik yang menyusahkan mereka khasnya yang melompat parti,” ujarnya ketika dihubungi di sini.

Malam tadi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu kesemua calon mewakili gabungan parti itua akan menandatangani akuan tolak rasuah.

Malah calon PAS lebih awal melakukan baiah, manakala calon Gerakan pula menandatangani akuan sumpah (SD) bagi mengelakkan berlaku lompat parti.

Ahmad Fadhli yang juga anggota parlimen Pasir Mas berkata, amat wajar pengundi Melaka memberi undi kepada calon yang dipastikan tidak akan melompat parti.

“Ia penting bagi memastikan momentum itu dapat diteruskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” ujarnya.

Sementara itu Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, beliau bimbang sekiranya kelesuan ‘mood’ rakyat Melaka berlarutan sehingga hari mengundi.

Katanya kelesuan itu berikutan tindakan lompat parti sehingga menyebabkan PRN Melaka terpaksa diadakan.

Menurut beliau kelesuan itu agak jelas berbanding Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini kerana mood mereka telah hilang, ditambah pula wabak Covid-19.

“Kita bimbang ia akan membawa kesan pada hari mengundi yang akan menyebabkan wujud gelombang kecil ‘malas mengundi’.

“Orang Melaka harus sedar, siapa yang menyebabkan kerenah itu terjadi. Sebaliknya jangan beri peluang sekali lagi pada mereka memimpin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

- Advertisement -