PRU15: Makin ramai tak pasti mahu undi siapa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lebih ramai rakyat Malaysia kini didapati tidak pasti siapa yang mereka mahu undi jika pilihan raya akan datang atau khususnya, Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan tidak lama lagi, menurut tinjauan oleh badan penyelidikan Invoke Malaysia.

Lebih separuh atau 51 peratus rakyat Malaysia yang ditinjau pada Februari 2021 berkata, mereka tidak pasti siapa yang hendak diundi dalam pilihan raya umum akan datang, 16 peratus berkata mereka akan mengundi Perikatan Nasional (PN), lapan peratus untuk Barisan Nasional (BN), empat peratus untuk Muafakat Nasional (MN) dan hanya tiga peratus pengundi berkata mereka akan mengundi Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Sementara tujuh belas peratus pula enggan memberikan jawapan.

Hasil tinjauan itu didapati berbeza dan bertambah dengan ketara sebanyak 14 peratus  berbanding hasil tinjauan pada Disember 2020 yang mendapati hanya 37 peratus pengundi  yang tidak pasti mengundi calon mana satu dalam PRU15.

“Peningkatan 14 peratus dalam bilangan penjaga pagar antara Disember 2020 dan Februari 2021 bermakna lebih separuh daripada semua pengundi kini tidak pasti tentang siapa yang akan disokong.

Hasil tinjauan pada Disember 2020  mendapati sokongan terhadap BN lebih baik sedikit yang  mana 16 peratus responden menyatakan mereka akan mengundi parti gabungan tersebut, diikuti oleh PN  sebanyak 15 peratus, PH lima peratus dan MN empat peratus.

Bagaimanapun, tinjauan itu menyatakan itu tidak bermakna sokongan Melayu telah beralih daripada BN kepada PN tetapi sebaliknya menunjukkan ketidakupayaan Umno untuk mengambil kedudukan yang jelas mengenai masa depannya.

Namun, didapati 61 peratus pengundi bersetuju bahawa perkhidmatan PN (di bawah pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) semakin baik  melalui hasil tinjauan pada  Februari 2021 berbanding 65 peratus pada Disember 2020.

Berdasarkan penilaian yang sama, 69 peratus orang Melayu juga bersetuju bahawa kerajaan ketika itu menunjukkan prestasi yang lebih baik di bawah PN setakat Februari, 2021 berbanding penarafan yang lebih tinggi sedikit sebanyak 75 peratus pada Disember 2020.

Bagaimanapun, didapati persetujuan tentang perkara berkenaan dalam kalangan masyarakat Cina tidak banyak berubah antara Disember 2020 dan Februari, 2021 iaitu sebanyak  38 peratus (pada Disember 2020) berbanding 39 peratus  (pada Februari 2021).

Bagi pengundi India pula, didapati  hampir separuh atau 47 peratus hasil tinjauan pada Februari 2021 bersetuju bahawa prestasi kerajaan yang lebih baik di bawah PN berbanding 55 peratus  hasil tinjauan pada Disember 2020.

Dalam pada itu hasil tinjauan pada Februari 2021 mendapati  hanya 65 peratus responden sanggup untuk pergi mengundi di peti undi, penurunan mendadak dari Disember 2020  (sebanyak 78 peratus).

Pada akhir tinjauan, Invoke merumuskan bahawa semua parti-parti politik di Malaysia  mengalami jurang kredibiliti.

“Walaupun kedudukan PN sangat lemah, PH mahupun BN tidak dapat memanfaatkan senario tersebut.

“PH mempunyai masalah kredibiliti yang besar. Namun, salam setiap tinjauan yang dijalankan oleh Invoke selepas ‘Sheraton Move’, majoriti pengundi mendakwa mereka lebih mengutamakan PN berbanding PH.

“Malah, bilangan pengundi yang mendakwa mereka lebih mengutamakan PN berbanding PH hanya meningkat seiring dengan berlalunya masa, walaupun pada hakikatnya persetujuan bahawa perkhidmatan PN semakin baik semakin menurun dalam tempoh yang sama.

“Ini adalah untuk menyatakan bahawa PH tidak melakukan apa-apa untuk menawan hati rakyat sejak kehilangan kuasa pada Februari 2020. Penekanannya terhadap ‘mandat rakyat’ dicuri jelas tidak bergema, walaupun dalam kawasan pilihan raya bandar berbilang etnik.

“Isu ekonomi adalah apa yang memenangi pilihan raya pada 2018, fakta yang nampaknya tidak diendahkan oleh kebanyakan pemimpin PH,”  tegas hasil tinjauan tersebut. 

Kesimpulannya, hasil tunjauan Invoke tersebut sudah pasti boleh dijadikan oleh kerajaan PN dan parti-parti lain sebagai persediaan untuk menghadapi PRU15 kelak yang dijangka menjelang pertengahan 2022. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

- Advertisement -