MELAKA: Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen optimis pengundi Cina akan tampil membuang undi bagi calon Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Berdasarkan pemerhatian kata Chia Zhen, penerimaan pengundi Cina kepada Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak memberangsangkan selepas mereka merasai sendiri situasi di bawah pemerintahan pakatan itu.
“Selepas mereka mengalami pemerintahan PH, mereka sudah rasa banyak tertipu dengan manifesto yang diberikan oleh PH sebelum ini.
“Begitu juga pengundi muda, sebab mereka meletakkan harapan tinggi terhadap manifesto PH sebelum ini, jadi sekarang mereka rasa sudah hilang keyakinan kepada PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di Markas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini, malam tadi.
Perjumpaan turut dihadiri Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad, Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ir Khairil Nizam Khirudin dan calon Perikatan Nasional dari PAS bagi DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin.
Pada PRN Melaka kali, lapan calon daripada PAS yang bertanding iaitu Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sedik (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).
Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 11/11/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!