Ulamak melihat ibrah dalam sirah

- Advertisement -

MENDENGAR apa yang tersirat dalam Perjanjian Hudaibiyyah, tidak pernah membosankan. Dalam muktamar semalam, kisah berkenaan Rasulullah S.A.W memadamkan perkataan Rasulullah S.A.W dan menukarkannya dengan Muhammad bin Abdullah setelah dibantah oleh Suhail bin Amr. Sesuatu yang telah sering didengar tetapi tidak disangka ia terkait dengan situasi kita sekarang, PAS menggunakan lambang PN dalam PRN nanti, tidaklah sehebat Rasulullah S.A.W menukarkan gelaran Baginda yang mulia itu.

Suatu ketika, PAS tidak menggunakanpun lambang Pakatan Rakyat, mahupun Barisan Alternatif dalam PRU, walaupun kita adalah dalam kesatuan pembangkang. Sebaliknya, kita pula membenarkan PKR dan DAP menggunakan lambang kita. Ada juga calon PAS, menggunakan lambang PKR dalam PRU, menjelaskan keluasan fekah yang kita amalkan.

- Advertisement -

Bagi yang jahil atau yang tidak tahu dari pihak pembangkang, pastinya menuduh PAS sebuah parti yang tidak tetap pendirian dengan mengubah hukum dari semasa ke semasa. Namun ketika semua pembangkang menggunakan lambang PKR dalam PRU14, ia tidak mengapa pula. Ketika mereka mahu berbaik dengan Umno yang pernah mereka gelarkan dengan berbagai gelaran buruk, tiba-tiba ianya ada keharusan pula. Hukum berubah juga macam PAS?

Dan terkini, mereka telah mengkategorikan katak-katak politik. Yang masuk kem mereka, katak yang baik. Dan yang keluar dari kem mereka, ia katak yang jahat. Kasihan katak, kerana mereka tidak pernah membezakan sesama mereka, sama ada katak puru, katak pisang, tetaplah mereka sama iramanya sewaktu memanggil hujan. Apa dosa katak?

Ketika Perikatan dahulu, sewaktu Umno mengajak PAS bersama, mereka juga sanggup mengubah nama kepada Barisan Nasional yang mana menurut Presiden PAS, lambang dacing itu, adalah idea Dato’ Asri Muda. Dan beberapa tahun lepas, Umno juga dengan rela hati, ketika mahu mendapatkan kerjasama PAS melalui MN, mereka sanggup mengubah perlembagaan parti mereka dengan meletakkan Islam sebagai asas perjuangan parti selepas 73 tahun. 

Dan anehnya, beberapa hari lalu, Dato’ Mohammad Hassan berkata, Umno tiada niat untuk menubuhkan Kerajaan Islam. PAS tidak pernah pula menukar perlembagaan asasnya hanya kerana mahu membuat muafakat dengan mana-mana parti. Tidak pernah. Yang terjadi, rakan politik akan menurut kehendak PAS yang tidak lari dari Islam, kerana PAS wajib memastikan Islam diutamakan dalam mana-mana langkah politik. Dan PAS pula tidak menjadi bos dalam pakatan politik, hanya rakan yang membantu.

Jangankan mengubah asas perlembagaan, malah Muslimat PAS sebagai contohnya, tiada lagi yang sanggup membuka tudung mereka semata-mata mahu mengutip undi kerana terdesak. Yang ada, wanita parti lain yang terpaksa memakai hijab kerana menghormati PAS yang kekal dengan prinsip Islam mereka. PAS tidak peduli walau kalah, tetapi Islam, wajib dijaga.

Apa kita mahu gelarkan kepada kedua-dua pihak ini? Kelihatannya sama seperti yang PAS lakukan. Tetapi PAS memahami strategi politik Islam dan PAS inginkan pahala dari strategi itu, supaya tidak sia-sia berjuang. Sebab itu PAS tetap mempertahankan asas perjuangannya untuk membina negara Islam, walau dibenci dan dikecam orang dan memilih setia dengan rakan yang sudah diikat perjanjian. 

Manakala Muafakat Nasional telah dicabuli piagamnya oleh Umno dengan tidak mahu menerima BERSATU, sedangkan BERSATU juga adalah parti teras Melayu. Dan jangan lupa, PKR juga telah diintai Umno semasa MN sedang berjalan. Mengapa pula itu pula dibolehkan? Apa beza BERSATU dan PKR bagi Umno?

Oh, kalau PAS berkata begitu, bagaimana pula dengan PAN? Kenapa tidak diajak PAN masuk PN sekali? Jawapannya, PAN adalah cinta, kasih dan sayang DAP. Niat kita dalam MN, sama, tidak mahukan DAP dan PKR ketika piagam dibuat. Dan Umno pula, kenapa hanya mengintai PKR dan tidak PAN? Kalau Umno nak sangat, ambillah PAN itu. Atau Umno pun tidak sanggup sebab sudah tahu perangai PAN macam mana? Inilah ibrah dari sirah yang ulamak cerahkan untuk kita semua. Alhamdulillah, ia terang dan nyata.

MOHD NASIR ABDULLAH 
8 November 2021 – HARAKAHDAILY 8/11/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -