Larangan jual arak 1 Nov: Jangan salah faham

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Garis panduan larangan penjualan minuman keras, arak atau liquor yang memabukkan di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina yang mula berkuatkuasa semalam, 1 Nov 2021 secara amnya disokong oleh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, namun ada kemungkinan ia timbul menjadi isu kerana berlaku silap dalam kalangan orang ramai.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Lumpur, Kong Tuck Wah berkata, rakyat Malaysia termasuk orang bukan Islam ada yang salah faham mengenai garis panduan larangan penjualan arak yang diumumkan kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, DBKL tidak membatalkan lesen penjualan arak secara keseluruhan, namun hanya mengeluarkan garis panduan untuk mengawal penjualannya kepada orang Islam.

Beliau menjelaskan sedemikian berikutan berlaku salah faham orang bukan Islam terhadap larangan jualan tersebut, yang menganggap larangan itu adalah untuk menghalang orang bukan Islam meminum arak di negara ini.

“Orang Islam juga mungkin tidak faham bahawa minuman keras atau arak adalah berbeza dengan bir dari segi jumlah peratusan alkohol di dalam produk itu dan kesan daripada pengambilannya juga berbeza.

“Bir bukan arak atau minuman keras, ia masih dijual di kedai runcit dan kedai serbeneka seperti 7-Eleven sehingga jam 9 malam,” katanya.

Tuck Wah.

Tuck Wah menjelaskan bahawa arak adalah haram untuk orang Islam, tetapi untuk dirinya yang bukan Islam, ia tidak haram.

Terdahulu, kerajaan melalui DBKL telah mengeluarkan garis panduan antaranya penjualan bir masih dibenarkan di premis kedai runcit dan kedai serbaneka tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.

Sebagai contohnya, bir hanya boleh dijual kepada orang bukan Islam berumur 21 tahun dan ke atas. Selain itu, penjual perlu menyediakan ruang jualan bir di bahagian paparan khas dan berasingan daripada minuman lain.

Penjual juga perlu mengunci ruang penjualan selepas tamat masa operasi penjualan bir, iaitu bermula jam 7 pagi sehingga 9 malam sahaja.

Sementara, bagi minuman keras yang memabukkan, ia hanya dijual di pub, bar, lounge, dan restoran bermula jam 10 pagi hingga 12 malam, atau sehingga jam 2 pagi jika diluluskan untuk lanjutan masa khas.

Penjualan runcit minuman keras juga masih dibenarkan di pasar raya, runcit, pusat perdagangan, pusat beli-belah bermula jam 7 pagi hingga 9 malam dan kedai arak khusus bermula jam 10 pagi hingga tengah malam.

Dalam masa sama, DBKL juga meletakkan syarat minuman keras yang memabukkan tidak boleh dijual berhampiran balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.

Dalam pada itu menurut Tuck Wah lagi, beliau hairan kenapa PAS sering dipersalahkan dalam isu berkenaan sedangkan katanya, bukan PAS yang membangkitkan isu itu.

“Mungkin orang  ramai tersilap faham, bir dan arak itu tidak sama, seperti rogol dan zina,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Sementara itu, Timbalan Ketua DHPP Selangor, Rajan Manikesavan pula berpandangan bahawa kerajaan perlu menghalang penjualan bir di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di kedai runcit, kedai serbaneka dan restoran.

Menurut Rajan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan minuman keras serta bir sukar untuk diperolehi, kaum ibu India di negara ini berasa begitu selesa dengan situasi itu.

“Sepanjang PKP, kaum ibu  paling bahagia kerana suami mereka tidak akan menghabiskan wang untuk membeli bir atau arak. Contohnya, sekiranya suami mereka memperoleh gaji harian sebanyak RM40, semasa PKP, kesemua gaji itu akan dibawa pulang ke rumah dan dinikmati bersama keluarga.

“Namun, ketika bermula semula penjualan bir di premis yang mudah didapati pada era endemik ini, suami mereka yang peminum akan menghabiskan hampir kesemua gaji mereka, dari RM40 hanya tinggal RM10, saya nampak banyak rintihan daripada kaum ibu,” katanya.

Menurut  Rajan, beliau amat senang untuk melihat kaum India meninggalkan tabiat menikmati minuman keras itu.

“Arak adalah salah mengikut kepercayaan agama orang India dan hanya digunakan dalam kuantiti yang sedikit untuk upacara sembahyang,” ujarnya.

Justeru kata Rajan, garis panduan baharu yang dikeluarkan DBKL dengan sekadar mengehadkan masa jualan di premis yang mudah didapati tidak memberi sebarang kesan baik terhadap orang India.

Rajan Manikesavan.

Menurutnya, orang India kini masih boleh mendapatkan minuman bir dari kedai ubat Cina, dan garis panduan boleh mendatangkan impak positif kerana kedai ubat Cina tutup lebih awal, iaitu pada jam 6 petang.

“Berbeza dengan bir dan arak, walaupun dijual sehingga jam 9 malam sahaja, orang ramai tetap akan beli kemudian simpan minuman itu di dalam kereta dan meminumnya di  tempat lain. 

“Contohnya di taman permainan, budak sekolah akan duduk minum di sana jika kedai tutup. Saya tidak mahu melihat situasi itu berlaku dan masyarakat India juga tidak mengalu-alukan arak,” tegasnya.

Bagaimanapun kata Rajan, dia tidak menolak penjualan arak secara keseluruhan dan menganggap ia masih relevan dan wajar untuk penjualannya secara terkawal  di premis hotel, atau untuk pengambilan di rumah sendiri.

“Sekiranya melibatkan awam, ia akan mengundang banyak masalah lain,” katanya lagi.

Di samping itu, Rajan turut berpendapat menaikkan cukai arak juga belum tentu membantu masyarakat mengurangkan pengambilan minuman keras.

“Peminum yang mempunyai ketagihan terhadap arak akan sanggup membelinya meskipun ia dijual dengan harga yang  tinggi, sama seperti perokok tegar yang tetap membeli rokok biarpun cukai yang tinggi telah dikenakan terhadap rokok,” katanya.

Sementara itu, tinjauan awam Harakahdaily mendapati rata-rata masyarakat Melayu bersetuju dengan larangan jualan minuman keras yang memabukkan di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

Seorang guru, Muhammad Ibrahim Khalil, 36, berkata, larangan itu wajar diperluaskan ke seluruh negara, bukan di Wilayah Persekutuan semata sahaja.

“Minuman keras akan merosakkan individu yang meminumnya dan memberi kesan buruk kepada orang disekelilingnya. Ia akan memberi satu implikasi yang sangat buruk kepada masyarakat.

“Ini kerana individu yang ketagih minum arak  akan menjadi tidak stabil dan mengggangu keadaan sekeliling, dan boleh merosakkan institusi rumah tangga,” katanya.

Ibrahim menyambut baik larangan itu dan berharap ia akan menjadi titik perubahan dalam negara.

“Orang Islam perlu tahu arak membahayakan diri serta berjuang untuk agamanya. Perkara seperti ini tidak patut berlaku kepada individu yang beragama Islam. Kalau orang bukan Islam tiada masalah,” katanya lagi.

Guru tadika, Ainee Adilah Mat Husin, 25, juga bersetuju dengan langkah DBKL itu dan mengganggap ia satu penambahbaikan yang wajar.

Katanya, sekurang-kurangnya arak menjadi sesuatu yang sukar untuk diperolehi oleh orang Islam dan berharap undang-undang mengenai minuman keras akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Ainee Adilah.

“Kita sedia maklum, arak memang diharamkan kepada orang islam dan memang sangat berharap ia diharamkan terus.

“Tetapi sebab kita hidup dalam masyarakat majmuk, saya faham hak orang bukan Islam dan saya harap undang-undang tentang arak akan ditambahbaik dari masa ke semasa untuk kemaslahatan kita bersama,” ujarnya.

Pengurus Sumber Manusia, Farhani Tajudin, 44, dalam pada itu menganggap pelaksanaan larangan tersebut adalah tepat masanya sebagai permulaan.

Katanya, DBKL tidak secara agresif menghalang penjualan arak dan  masih memberi alternatif kepada orang bukan Islam untuk mendapatkannya  pada masa dan waktu tertentu sahaja.

Farhani Tajudin.

“Pelaksanaan larangan arak berpotensi memberi kesan yang baik kepada masyarakat selain dapat mendidik rakyat mengenai keburukan pengambilan minuman keras itu.

“Dengan peraturan yang ada, kebolehdapatan kepada arak juga terhad. Kalau mudah untuk dapatkan, orang Islam pun dengan mudah membeli arak. 

“Orang bukan Islam akan faham mengenai kawalan ini kalau mereka tengok apa yang berlaku di Kelantan, masyarakat bukan Islam di sana faham mengenai kawalan sebegini,” katanya.

Pembantu pejabat, Siti Nur Amirah Rejab, 26, juga menyambut baik dengan syarat jualan minuman keras hanya boleh dijual kepada individu berusia 21 tahun ke atas.

Katanya, dengan kawalan berkenaan, jenayah dan gejala yang berpunca daripada minuman keras di negara ini diharap dapat dikurangkan.

Siti Nur Amirah.

“Arak terbukti memabukkan, peminum yang mabuk tidak berada dalam fikiran yang waras dan tentunya akan mengundang kepada masalah lain seperti maksiat, kemalangan maut  dan sebagainya.

“Malah masyarakat akan lebih selamat, terutama untuk anak-anak muda generasi hari ini yang akan menjadi pemimpin suatu hari nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

- Advertisement -