Bajet 2022 fokus pemulihan pasca Covid-19

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Bajet 2022 yang membawa tema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dianggap melambangkan suatu gagasan bersatu padu rakyat rakyat negara ini mendepani fasa pemulihan pasca Covid-19.

Ahli Parlimen Tumpat Dato Che Abdullah Mat Nawi berkata, frasa Makmur Sejahtera memberi mesej belanjawan kali ini dicorak ke arah kemakmuran dan kesejahteraan bersama, bangkit daripada himpitan pandemik.

Katanya, negara baru sahaja menapak keluar dari situasi yang kritikal dan mencabar, namun kerajaan masih mengekalkan perbelanjaan yang besar meskipun dengan kadar yang lebih rendah berbanding belanjawan sebelumnya.

- Advertisement -

“Apa yang perlu diperhatikan ialah beberapa inisiatif penting bagi mengurangkan kadar pengangguran dan peningkatan kuasa beli rakyat bagi menyokong permintaan domestik.

“Selain itu, faktor yang boleh mendorong kesan pengganda (multiplier effect) kepada ekonomi juga wajar dititikberatkan,” katanya di sini.

Petang tadi Menteri Kewangan Tengku Dato Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentang Bajet 2022 yang menyenaraikan pelbagai insentif bagi membantu rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Che Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan berkata, pada perbahasan Bajet 2022 nanti kelak beliau akan memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah yang seimbang.

“Serta tidak dilupakan pembangunan khusus kepada rakyat Kelantan yang agak ketinggalan sebelum ini berbanding negeri negeri lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2021

- Advertisement -