Kisah murid-murid guna tren di Dabong dapat perhatian

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren yang sedang tular, ‘Train to Dabong’ di Kuala Krai, Kelantan, mendorong Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk memberi perhatian terhadap pengangkutan murid sekolah luar bandar.

Tengku Zafrul mengakui tertarik dengan perkhidmatan tren di Dabong yang memang merupakan kawasan tumpuan bagi akitiviti ekopelancongan dan harga tambang tiket kereta api untuk ke sana juga adalah berpatutan menyebabkan perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sentiasa penuh pada hujung minggu.

- Advertisement -

Katanya, pada hari-hari biasa pula, kebanyakan penumpang merupakan murid-murid sekolah yang kini menerima manfaat di bawah inisiatif Pas MyRail5 yang cuma berharga RM5 sebulan untuk perjalanan tanpa had.

“Oleh itu, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi bagi menampung sebahagian kos operasi perkhidmatan tren kurang ekonomik di luar bandar, terutama di wilayah timur dan meneruskan inisiatif Pas MyRail5 untuk manfaat murid sekolah,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Menteri Kewangan berkata, ada penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak yang terpaksa menempuh jalan balak dan mengambil masa berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan di pekan berdekatan.

Katanya, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka seperti penduduk di Kudat dan Long Pasiah di Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak.

“Oleh itu, bagi tahun hadapan, kerajaan akan terus memberikan subsidi sebanyak RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan RM80 juta sebagai Dana Bantuan Sementara Bas Henti-Henti untuk manfaat pengendali bas henti-henti dan RM115 juta bagi inisiatif pas perjalanan bas dan rel tanpa had dengan harga RM50 sebulan untuk pengguna, terutama di Lembah Klang. – HARAKAHDAILY 29/10/21

- Advertisement -