Bajet 2022: Perbelanjaan mesra rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bajet 2022 disifatkan perbelanjaan mesra rakyat terutama bagi mengurangkan bebanan rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kerajaan memperuntukkan pelbagai inisiatif baharu antaranya membabitkan penglibatan golongan wanita di dalam sektor awam dan swasta.

“Untuk penglibatan wanita dalam sektor awam dan swasta, kerajaan menetapkan syarikat menempatkan sekurang-kurangnya 30 peratus.

- Advertisement -

“Sekarang ini pencapaian penglibatan wanita di sektor swasta lebih daripada 25 peratus.

“Manakala di sektor awam bagi kategori Jusa C dan ke atas, sebanyak 38 peratus,” katanya kepada Harakahdaily selepas pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, kata Siti Zailah, golongan bersasar melibatkan wanita, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta kanak-kanak turut diberikan keutamaan dalam Bajet 2022.

Tambah beliau, antaranya ialah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan bantuan tunai tertinggi iaitu sebanyak RM2,000 bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima yang akan membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500 sebulan.

Sehubungan itu, Siti Zailah yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang mengharapkan agar bajet mesra keluarga ini menjadi pemangkin untuk pemulihan ekonomi negara sekali gus membawa negara keluar dari pandemik Covid-19.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan merupakan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam memacu pemulihan ekonomi.

Bajet berjumlah RM332.1 bilion itu bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.

Ia turut menggariskan tiga fokus induk yang merangkumi rakyat yang sejahtera, perniagaan berdaya tahan dan ekonomi makmur serta mampan. – HARAKAHDAILY 29/10/2021

- Advertisement -