Jabatan Agama Islam Negeri kesan 47 ajaran sesat

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 kes ajaran sesat membabitkan pemujaan, perbuatan atau ajaran salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu, dikesan di negara ini sejak Januari tahun lalu hingga September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, berkata sebanyak 33 kes dikesan sepanjang tahun lalu dan 14 kes lagi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

- Advertisement -

Katanya, kes terbabit dikesan hasil operasi Penguat Kuasa Agama di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) terhadap aktiviti ajaran sesat hasil maklumat orang awam dan risikan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi penyelaras hal ehwal Islam di peringkat pusat, pula sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri bagi membanteras ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam di negara ini,” katanya menjawab soalan Dato’ Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, antara usaha JAKIM bagi membenteras ajaran sesat di negara ini, termasuk melaksanakan 10 kajian berkaitan ajaran sesat sepanjang tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun ini.

Menurut Idris, kerajaan melaksanakan usaha secara berterusan untuk mencegah penyebaran ajaran sesat, termasuk mengadakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996.

Katanya, muzakarah itu memutuskan pandangan hukum supaya umat Islam di negara ini berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah, sama ada dari segi akidah, syariah mahu pun akhlak.

“Kerajaan turut menyedari bahawa ajaran sesat menjadikan alam maya sebagai platform penyebaran. Oleh itu, JAKIM menyelaras tindakan melalui jawatankuasa sedia ada dengan JAIN seperti Jawatankuasa Pemandu Ajaran Sesat (JAPAS), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (JAPPIS) dan Panel Pakar Akidah (PPA),” katanya.

Beliau berkata, JAKIM turut memberi tumpuan kepada memperkukuhkan akidah ummah melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang lengkap dan berkesan dengan kerjasama JAIN, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta agensi lain yang berkaitan.

Katanya, antara pendekatan bagi menangani isu penyelewengan akidah ialah bekerjasama dengan MAIN dan JAIN dalam aspek penyelidikan mengenai ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng daripada agama Islam.

“Pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan juga diadakan,” katanya.

Beliau berkata, kajian secara menyeluruh juga dilakukan dalam pelbagai aspek sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh MKI, termasuk kajian dari sudut kesan apabila sesuatu pandangan hukum mengenai ajaran sesat dikeluarkan.

Idris berkata, Jabatan Mufti di negeri juga mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut bidang kuasa masing-masing berpandukan pandangan hukum oleh Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa atau Muzakarah Fatwa Negeri.

Selain itu, katanya kaunseling dan nasihat agama diberikan kepada mereka yang terlibat bagi membantu mengembalikan akidah dan kehidupan mereka kepada kehidupan normal masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/10/21

- Advertisement -