PAS tidak mahu terhanyut sekali lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS beristiqamah dan teguh dengan pendiriannya untuk menyokong pakatan yang mengutamakan Islam memimpin, walaupun malangnya terdapat segelintir dalam Umno yang tidak istiqamah dengan perjuangan itu.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata dalam memperjuangkan Islam memimpin, kesemua parti politik Islam dan Melayu mesti bergabung.

- Advertisement -

Katanya, PAS telah mengajak semua pihak menyertai Muafakat Nasional (MN), namun tidak berjaya dan akhirnya membuat keputusan untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

“Kemudian, berlaku pergolakan poltik selepas itu sehingga menyebabkan tukar Perdana Menteri, dari Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, di bawah slogan Keluarga Malaysia.

“Kita jangan terjerat dengan slogan ini, kita terus dengan PN, Islam memimpin. Jika ‘Keluarga Malaysia’ tidak tahu sama ada Islam memimpin atau tidak, (kita berpendirian) mesti Islam memimpin, kita jangan dihanyutkan sekali lagi,” katanya dalam ucapan Konvensyen As-Sabiqun, hari ini.

Menurut Tuan Guru, walaupun PAS tekad memperjuangkan Islam memimpin, PAS tidak akan mengabaikan masyarakat majmuk di Malaysia dan sentiasa mendukung kerajaan hari ini.

Katanya, disebabkan masa yang terlalu singkat, PAS mengambil keputusan untuk mengisi kerajaan sedia ada sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlaku.

Justeru itu katanya, menjadi tanggungjawab mereka yang berpengaruh dalam masyarakat, iaitu Assabiqun untuk mendukung jentera kerajaan hari ini demi mengisi masa yang singkat ini.

“Assabiqun perlu digerakkan, dalam masa yang sama adalah untuk kemenangan yang lebih kuat, kerana kerajaan PN yang ada ini, adalah kerajaan yang mempunyai majoriti mudah.

“Kita perlu majoriti lebih besar, sekiranya digabungkan semua pengundi Islam, dan diajak pengundi bukan islam yang tidak ekstrem, terdapat kemungkinan untuk mendapat majoriti dua per tiga,” katanya.

Menurut Tuan Guru, hanya melalui perolehan majoriti dua per tiga yang membolehkan orang Islam meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengukuhkan kedudukan.

Namun katanya, hal itu hanya boleh dicapai sekiranya orang Islam tidak berpecah.

“Dengan sebab itu kita perlu memainkan peranan menjadi pendamai dalam kalangan orang Islam, kita tidak berpihak, kita pendamai, supaya semua bersatu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2021

- Advertisement -