Peranan Assabiqun dalam perjuangan PAS

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Veteran PAS, Assabiqun tetap mempunyai peranan dalam perjuangan PAS meskipun sekiranya sudah berusia atau tidak mampu untuk bergerak bersama jentera.

Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata berjihad menentang serangan pemikiran yang di bawah musuh kini menjadi fardhu ain bagi setiap individu.

Katanya, hal ini kerana beliau melihat kini, musuh sudah mula masuk ke negeri, rumah bahkan pemikiran orang Islam sendiri.

- Advertisement -

“Setiap orang mesti melibatkan diri, termasuk mereka yang sudah tua dan duduk di rumah masing-masing, tidak boleh bergerak, juga ada peranan mereka.

“Sekurang-kurangnya berdoa, bercakap, yang mampu menulis (boleh) menulis, apa sahaja (situasi) mesti libatkan diri. Kalau ada harta, disumbangkan untuk mempertahankan dan menegakkan Islam,” katanya berucap sempena Konvensyen As-Sabiqun PAS, di laman sosialnya, hari ini.

Menurut Tuan Guru, orang Islam kini berdepan dengan suasana politik yang getir di Malaysia apabila pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Malaysia dipimpin oleh sebuah kerajaan yang didominasi bukan Islam.

Katanya, situasi ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan adalah sesuatu yang mencabar apabila mereka cuba untuk mencabar Perlembagaan Persekutuan.

“Mencabar Islam dalam Perlembagaan, mencabar Raja-raja yang dianggap pelindung agama, mencabar hak istimewa orang Melayu Islam, bumiputera dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya lagi, PAS berpengalaman mengadakan kerjasama politik dengan semua pihak dalam mengatur strategi.

Katanya, pertama sekali adalah pada era 1950-an di mana PAS bekerjasama dengan Parti Negara, kemudian pada era 1970-an, PAS bersama Umno menubuhkan Barisan Nasional (BN).

Seterusnya kata Tuan Guru, adalah pada tahun 1990 di mana PAS berkejasama dengan Semangat 46, dan pada tahun 1999, PAS mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat yang menubuhkan Barisan Alternatif (BA).

“Dalam semua kerjasama, kita tidak pernah rugi. Dalam menghadapi cabaran yang getir ini, kita mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Umno, iaitu mengajak Umno menubuhkan Muafakat Nasional (MN) dan membuka keahliannya kepada parti-parti Melayu Islam.

“Dalam masa sama, kita mengajak mereka yang berada dalam kerajaan, bersama dengan kita, dan akhirnya menubuhkan Perikatan Nasional (PN), dan kita berjaya mengambil alih kerajaan di atas nama Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Malangnya, kata Tuan Guru, walaupun PAS istiqamah dan teguh pendiriannya, terdapat segelintir dari kalangan Umno yang tidak istiqamah dengan perjuangan itu.

Katanya, terdapat segelintir dari Umno yang hanya mahu MN disertai oleh PAS dan Umno sahaja.

“Tidak boleh PAS dengan Umno sahaja, mesti semua orang Islam dan bumiputera, bergabung. Kita ajak supaya MN disertai oleh semua. Malangnya, tertutup. Maka ditubuhkan PN.

“Kita hidupkan PN dalam keadaan kita tidak putus dengan Umno, dan kita jugak menegakkan PN, ini pendekatan yang kita ambil,” kata beliau.

Bagaimanapun kata Presiden PAS itu, berlaku pergolakan politik sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa menukar Perdana Menteri, daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di bawah slogan ‘Keluarga Malaysia’. – HARAKAHDAILY 24/10/2021

- Advertisement -