Bumi bakal ‘terbakar’ pada 2500

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

MONTREAL: Menjelang tahun 2500, jika bumi ini masih wujud, ia bakal menjadi sebuah planet asing buat seluruh umat manusia yang mendiaminya selama ini, angkara perubahan iklim yang drastik sehingga negara India tidak lagi boleh didiami sebarang hidupan impak kesan pemanasan global.

Ia berikutan hasil kajian terbaharu pasukan saintis antarabangsa mendapati, bukan sekadar India tidak akan lagi boleh dihuni manusia, namun pemanasan global pada 2500 juga akan turut menjadikan kawasan hutan Amazon berubah menjadi sebuah kawasan tandus. 

- Advertisement -

Ia menimbulkan persoalan adakah ini bermakna bumi akan terbakar impak pemanasan global menjelang 2500 kelak? 

“Kita perlu membayangkan bumi yang bakal dihuni oleh anak-anak dan cucu-cucu kita pada masa hadapan, dan apa yang dapat kita lakukan sekarang untuk menjadikan agar keadaan dunia ini lebih adil dan dapat berterusan dihuni oleh mereka,” kata saintis sosial alam sekitar, Christopher Lyon, yang juga bekas penyelidik dari University of Leeds dan kini berpangkalan di McGill University di Montreal, Kanada.

Sehubungan itu, kesan pemanasan global telah menjadi salah satu masalah utama  yang dipandang dengan serius untuk dunia masa depan sehingga termaktubnya apa yang dikenali sebagai Perjanjian Paris.

Perjanjian itu merupakan kesepakatan antara negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai perubahan iklim. 

Perjanjian Paris tertakluk di bawah naungan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang menangani isu pelepasan gas rumah hijau dan mitigasi (usaha untuk mengurangkan risiko bencana).

Sehubungan itu, Perjanjian tersebut lahir daripada Persidangan Perundingan Iklim ke-21 (COP21) ke UNFCCC yang diadakan pada 30 November hingga 12 Disember 2015 di Paris dengan matlamat agar kesan pemanasan global dikurangkan hingga maksimum 2 darjah Celcius menjelang tahun 2100.

“Namun, sekiranya kita gagal memenuhi tujuan Perjanjian Paris (pada COP21), dan pelepasan gas rumah hijau (gas karbon dioksida) terus meningkat, banyak tempat di dunia akan mengalami perubahan iklim  secara drastik,” tambah Lyon, lapor Forbes.com.

Sehubungan itu katanya, untuk memahami dan merancang kesan iklim global sepenuhnya dalam senario apa pun, penyelidik dan pembuat dasar mesti melihat lebih jauh ke hadapan daripada penanda aras 2100 yang sebelum ini diwartakan Perjanjian Paris pada COP21. 

“Walaupun banyak laporan berdasarkan kajian ilmiah membicarakan kesan jangka panjang perubahan iklim seperti kenaikan kadar gas rumah kaca, suhu, dan permukaan laut, namun kebanyakannya tidak melihat di luar penanda aras 2100,” tegasnya. 

Sehubungan itu, Lyon dan kumpulan saintisnya telah menjalankan penyelidikan dengan membuat unjuran model iklim global berdasarkan unjuran yang bergantung pada kepekatan gas rumah hijau atmosfera untuk senario mitigasi rendah, sederhana dan tinggi yang dipanjangkan tempohnya sehingga 2500. – HARAKAHDAILY 22/10/2021 >>>Ikuti gambaran lanjut yang mencemaskan dalam Harakah edisi cetak<<<

- Advertisement -