Tiga jawatan utama DPPNS dijangka ada pengundian

Oleh BASITH SAMAD

KINABATANGAN: Debaran menjelang Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), pagi esok, kian terasa apabila khabar angin muka baharu akan memegang tampuk kepimpinan DPPNS hangat diperkatakan.

Menurut Ketua Penerangan DPPNS, Mustaman Mustain, langkah perjalanan pemuda PAS Sabah sudah mengambil masa lebih tiga dekad dan DPPNS perlu bergerak ke hadapan seiring dengan peredaran masa.

Advertisement

Katanya, pemerkasaan sayap kanan parti PAS Sabah kini perlu dilakukan bagi memastikan DPPNS boleh menjadi satu gerakan yang sentiasa tersusun dan segar dalam kalangan anak muda.

“Muktamar kali ini adalah masa yang sesuai untuk melakukan perubahan memandangkan tahun ini adalah tahun pemilihan dan dijangka akan ada pengundian di peringkat tiga kepimpinan utama DPPNS,” katanya.

Mustaman berkata, 16 Dewan Pemuda kawasan akan menunaikan tanggungjawab dengan membuat pengundian memilih tampuk kepimpinan baharu DPPNS secara dalam talian melalui sistem e-voting.

Muktamar DPPNS kali ke-37 dengan tema “Memimpin generasi kemenangan Islam” esok akan berlansung secara hibrid yang disertai oleh perwakilan yang akan membahaskan ucaptama Ketua Pemuda di kawasan atau zon masing-masing. – HARAKAHDAILY 22/10/21