Jenama ‘Timah’ sentuh sensitiviti umat Islam

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan bahawa akan berlaku perbuatan sengaja menukar jenama arak semata-mata untuk menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, Baginda SAW telah memberikan amaran akan berlaku fitnah pada akhir zaman yang menimpa ke atas umatnya yang membawa kepada kerosakan akhlak mereka akibat arak.

- Advertisement -

Katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Demi sesungguhnya ada dalam kalangan umatku yang meminum arak, sehingga menamakannya dengan bukan nama asalnya (menukar namanya bagi mengelirukan).” (Riwayat Abu Dawud 3688, Ibn Majah 4020 dan lain-lain).”

Dalam konteks isu penggunaan nama `Timah’ sebagai jenama arak, beliau berkata, sepatutnya pihak yang menjaga urusan agama Islam juga tidak mengizinkan sebarang penyalahgunaan nama yang cuba mengelirukan penganut Islam oleh mana-mana pihak.

“Walau apa pun alasan yang diberikan untuk jenamanya, penggunaan nama “Timah” dalam bahasa orang Melayu adalah dekat dengan nama Fatimah al-Zahra’ RA, puteri kesayangan Rasulullah SAW, dan secara halus boleh dianggap menyentuh sensitiviti dalam kalangan penganut Islam,” katanya.

Ahli Parlimen Marang berkata, dalam masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai penganut agama, pihak berkuasa dalam negara Islam tidak boleh menghalang penggunaan dan perniagaannya dalam kalangan bukan Islam kerana diizinkan oleh agamanya berkonsepkan kebebasan beragama.

Katanya, kerajaan yang dikuasai oleh PAS di Kelantan dan Terengganu telah menetapkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang mengharamkan arak kepada penganut Islam. Pada masa yang sama, tidak melarang berlaku perniagaan arak dalam kalangan bukan Islam sahaja.

“Islam turut menegaskan bahawa semua yang terlibat menghasilkan arak dan bahan sepertinya adalah haram dan berdosa besar, sama ada daripada industri huluan sehinggalah hiliran, walaupun tidak digunakan untuk dirinya dan orang lain. Semua hasilnya tidak mendatangkan keberkatan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Seterusnya diharamkan juga semua bahan yang memabukkan seperti candu, dadah dan lain-lain kerana semuanya merosakkan akal yang berharga bagi diri manusia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Islam masih mengizinkan penggunaan bahan-bahan lain yang tidak salah, seperti bagi tujuan perubatan dan perubahan daripada arak menjadi cuka untuk makanan setelah proses bertukar menjadi bahan yang lain. – HARAKAHDAILY 22/10/21

- Advertisement -