SMARTSTART tingkatkan pengetahuan dan kemahiran bakal pengantin

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Hasil kajian impak penilaian terhadap Kursus Praperkahwinan SMARTSTART pada tahun 2013 mendapati pengetahuan dan kemahiran peserta meningkat melebihi 91 peratus.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kajian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melibatkan 234 responden yang pernah mengikuti kursus itu.

- Advertisement -

Katanya, SMARTSTART adalah antara program pengukuhan institusi keluarga yang khusus kepada pasangan yang bakal berkahwin dan mereka yang telah mendirikan rumah tangga dalam tempoh lima tahun.

“Lebih 697 program dijalankan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan agama, memanfaatkan 28,083 peserta,” katanya menjawab soalan lisan Senator Aknan Ehtook di Dewan Negara, hari ini.

Siti Zailah berkata, hasil kajian LPPKN digunakan untuk menambah baik modul SMARTSTART berdasarkan isu-isu semasa, termasuk kaedah mengenal personaliti diri dan pasangan, komunikasi berkesan, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kemesraan, daya tarikan serta membina komitmen dalam hubungan perkahwinan, pengurusan konflik dan pengurusan kewangan bagi persediaan majlis perkahwinan.

Selain itu, katanya LPPKN membangunkan modul SMARTSTART 2.0 yang terbahagi kepada tiga fasa, iaitu Fasa Praperkahwinan, Fasa Perkahwinan 1- 2 tahun dan Fasa Perkahwinan 3 – 5 tahun.

Melalui Fasa Praperkahwinan, katanya modul yang disediakan bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran kepada peserta mengenai persediaan ke arah perkahwinan.

“Modul fasa ini ditambah baik dengan mengambil kira elemen baharu seperti ujian personaliti, iaitu senarai semak untuk mengukur personaliti individu bagi mengenali diri dan pasangan, sekali gus boleh membantu pasangan memahami serta menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, elemen baharu lain ialah berkaitan perundangan keluarga, iaitu Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Akta Memperbaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 1976 serta input prosedur perkahwinan Islam dan pengurusan sumber kewangan keluarga.

Katanya, modul itu juga mengambil kira maklumat diet sihat, iaitu berkaitan pemakanan sihat untuk keluarga, kepentingan makanan berkhasiat untuk suami-isteri, konsep serta kepentingan 1,000 hari pertama kehidupan untuk menjamin kesihatan anak.

“Modul itu juga mementingkan maklumat amaran siber, iaitu mengetahui risiko, ancaman dan langkah pencegahan semasa menggunakan internet,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/21

- Advertisement -