MySTEP bantu wujudkan 50,000 peluang pekerjaan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM700 juta menjayakan inisiatif Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) sebagai langkah jangka pendek untuk membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat, terutama golongan siswazah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata ini juga berikutan kadar pengangguran di kalangan siswazah yang meningkat sebanyak 0.5 peratus daripada 3.9 peratus pada tahun 2019 kepada 4.4 peratus pada tahun lalu.

- Advertisement -

Katanya, MySTEP mampu menawarkan sebanyak 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak meliputi 35,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam merangkumi pelbagai bidang dan 15,000 peluang pekerjaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan fokus kepada sektor berasaskan bidang teknikal dan kewangan.

“Setakat 31 Ogos lalu, seramai 47,672 orang diambil bekerja dengan 35,917 orang ditempatkan di sektor swasta dan 11,755 orang ditempatkan di GLC dan rakan strategik mereka,” katanya menjawab soalan lisan Dr Yaakob Sapari di Dewan Negara, hari ini.

Awang berkata, usaha lain yang dilakukan ialah melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang memperkenalkan Program Perantisan bagi membuka peluang pekerjaan secara perantisan kepada graduan melalui latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dengan mereka yang mendapat manfaat seramai 44,843 graduan.

Melalui kerjasama Microsoft Malaysia, katanya Program Kemahiran Digital Bagi Kerjaya Hari Esok, dilaksanakan untuk mendedahkan peserta kepada kursus dan pensijilan kemahiran digital berkonsepkan ‘bersedia untuk masa depan’, kemahiran insaniah dan peluang penempatan pekerjaan yang berpotensi.

Katanya, kerajaan menerusi TalentCorp pula merangka program Geran Fasilitasi Penempatan Latihan Industri (MYNext Internship) bagi memastikan graduan universiti memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, TalentCorp menyediakan pakej atau pembiayaan geran fasilitasi latihan industri bagi memastikan pembangunan graduan sedia-industri diteruskan dan sebagai sokongan kepada Industri Kecil Sederhana, untuk membina saluran bakat dan mengekalkan kelestarian operasi susulan pandemik COVID-19. – HARAKAHDAILY 18/10/21

- Advertisement -