Kerajaan perhebatkan Kempen Beli Barangan Malaysia secara digital

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bekerjasama dengan tiga penyedia platform dalam talian yang mempunyai jumlah pengunjung tertinggi di Malaysia untuk menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerjasama dengan Shopee, Lazada dan PG Mall, sejajar dengan usaha pendigitalan sektor ekonomi serta tumpuan pengguna untuk berbelanja secara dalam talian.

- Advertisement -

Katanya, antara inisiatif strategik yang dilaksanakan ialah ruang khusus KBBM dalam penyedia platform berkenaan untuk menempatkan pelbagai kategori produk tempatan yang secara langsung memudahkan pengguna mencari dan membeli produk tempatan.

“Inisiatif lain ialah menyediakan diskaun dan kupon bagi pembelian produk tempatan seperti Pembelian dengan Pembelian (PWP) dan pelbagai jenis promosi berbentuk pengiklanan digital serta baucar penghantaran menggunakan kapal percuma, kepada jenama produk tempatan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, menyatakan program yang dijalankan untuk menggalakkan pembelian barangan buatan tempatan dan usaha pemasaran melalui kaedah dalam talian.

Alexander berkata, kerjasama ini diteruskan berdasarkan keberkesanan inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini dengan tumpuan kepada produk tempatan.

Katanya, keputusan ini juga mengambil kira faktor kecenderungan pengguna untuk berbelanja melalui dalam talian serta situasi semasa seperti pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pergerakan pengguna yang terhad dan risiko penularan pandemik Covid-19.

Menjawab soalan tambahan berhubung usaha bagi memastikan keselamatan jualan dalam talian, katanya kementerian memandang serius terhadap kes penipuan transaksi yang pengguna laporkan.

“Kementerian menggalakkan pengguna yang terpedaya ketika melakukan transaksi secara dalam talian untuk terus melaporkan perkara ini melalui saluran yang disediakan.

“Segala aduan pengguna akan diteliti bagi mengenal pasti sama ada berlaku kesalahan mengikut bidang kuasa yang dinyatakan dan kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melanggar undang-undang dan peraturan.

“Kita mempunyai lebih 2,000 anggota penguatkuasaan di seluruh negara dan 72 pusat kawalan yang boleh bergerak pantas untuk mengesan atau berjumpa pengadu,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/21

- Advertisement -