Tidak pernah terhenti martabat perundangan Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak pernah terhenti untuk memartabatkan perundangan Islam di negeri ini selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) dilulus di Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 25 November 1993.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, enakmen tersebut dilulus sebulat suara pada sidang Dun ketika itu.

Begitu juga katanya pindaan dibuat terhadap Kanun Jenayah Syariah II pada 19 Mac 2015, turut dilulus sebulat suara pada persidangan Dun.

- Advertisement -

“Manakala pada 6 April 2017 ahli parlimen Marang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diberi kebenaran membentang Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 bagi memperkasakan mahkamah syariah di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama.

“Segala usaha tetap diteruskan menerusi pelbagai saluran yang ada dan tidak pernah berhenti sehingga ke hari ini, di saat pelbagai cabaran yang dihadapi akibat ketidakharmoni di antara bidang kuasa sistem kehakiman Malaysia,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Hududullah peringkat negeri secara maya hari ini.

Program berkenaan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) serta Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).

Sebelum itu Prof Madya Dr Muhamad Fathi Yusof dari UTM menyampaikan ceramah bertajuk ‘Realiti Undang-undang Menghadapi Penyakit Sosial Dalam Suasana Pandemik’.

Pada 6 April 2017 Tuan Guru Abdul Hadi membentangkan RUU Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Pindaan tersebut bagi memartabatkan Mahkamah Syariah dengan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun RUU tersebut tidak dapat dibahas selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei 2018.

Menteri Besar juga yakin, program yang dilaksanakan tersebut sekalipun berdepan cabaran wabak, namun tugas mengajak masyarakat lebih cakna kepada undang-undang syariah dan memperjuangkan perlaksanaan sistem perundangan Islam perlu diketengahkan.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, perundangan syariah bukan semata-mata berkaitan dengan hudud sahaja, malah mampu mendidik masyarakat bagi mencegah gejala sosial.

Menurutnya juga sambutan Hari Hududullah diadakan setiap tahun dan tahun ini merupakan kali ke-16.

“Usaha itu dilakukan secara istiqamah untuk memastikan sistem perundangan Islam dapat dimartabatkan dalam dimensi yang lebih luas,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri melaksanakan perundangan syariah berdasar bidang kuasa yang ada.

Antaranya kata beliau kerajaan negeri mewujudkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Kelantan bagi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -