UMMAH desak jenama arak Timah ditarik balik

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) memandang serius arak dengan label seorang individu lelaki berjenama ‘Timah’ yang sinonim dengan nama Melayu-Islam yang mengundang rasa kurang selesa dan kontroversi dalam kalangan umat Islam di negara ini, baru-baru ini.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, sewajarnya penjenamaan sesuatu produk yang diluluskan oleh pihak berkuasa mengambil kira sensitiviti sesuatu kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, nama Timah adalah sinonim dengan nama orang Islam Melayu di negara ini sedangkan arak pula adalah minuman yang diharamkan oleh Islam.

Advertisement

Beliau berkata, pertentangan nama arak itu dengan hukum Islam adalah sangat mengelirukan dan menghina Islam dan Melayu.

“Ini seolah-olah mahu memesrakan jenama arak dengan umat Islam dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, kata beliau UMMAH dengan tegasnya membantah penggunaan nama Melayu dan Islam kepada jenama arak dan perbuatan itu menghina Melayu dan Islam.

Tambahnya, UMMAH berharap kelulusan jenama Timah yang diberikan oleh pihak berkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditarik balik dan harus mengambil tanggunjawab di atas perkara yang berlaku itu.

“Adalah amat memalukan negara dan pihak yang meluluskan arak berjenama Timah ini terdiri daripada orang Islam dan kerajaan Melayu Islam,” ujarnya lagi.

Beliau menyeru semua pihak sama ada kerajaan, NGO dan rakyat harus sensitif dengan arak kerana ia menjejaskan kesihatan dan meningkatkan gejala sosial yang buruk kepada masyarakat di negara ini. – HARAKAHADAILY 17/10/2021