Kadar penginapan hotel di Pulau Pangkor meningkat 78 peratus

- Advertisement -

LUMUT: Kadar penginapan hotel di Pulau Pangkor menunjukkan peningkatan hingga 78 peratus, sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan pada 11 Okt lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata dalam tempoh itu, seramai 9,888 pelancong direkodkan telah memasuki Pulau Pangkor.

- Advertisement -

“Sejak pembukaan pelancongan domestik dalam negeri pada bulan lepas, seramai 6,430 pelancong direkodkan datang ke Pulau Pangkor sepanjang Ogos manakala bulan lepas pula seramai 12,879 pelancong.

“Ini satu petanda baik dan keyakinan bahawa industri pelancongan Pulau Pangkor telah mula menerima bilangan pelancong dan dapat membantu ke arah pemulihan industri tesebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Jeti Penumpang Lumut di sini hari ini.

Nolee Ashilin berkata pihaknya sentiasa memantau keperluan perkhidmatan feri dan bersedia menambah perjalanan sedia ada namun perlu bergantung pada faktor kesediaan operator di pulau bebas cukai itu dalam menerima peningkatan jumlah pelancong.

Beliau berkata beberapa kemudahan turut diberikan kepada pelancong termasuk aktiviti rekreasi dibenarkan hingga 12 tengah malam manakala pelancong boleh membeli barangan bebas cukai selepas berada di pulau tersebut lebih dari 24 jam berbanding 48 jam sebelum ini.

“Setakat ini sebanyak 25 daripada 47 hotel di Pulau Pangkor telah beroperasi ketika ini dan selebihnya akan membuka operasi mereka secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata berdasarkan maklumat diterima daripada pihak Tourism Perak melalui persatuan perhotelan, peningkatan kadar penginapan sebanyak 50 peratus direkodkan di kawasan seperti Ipoh dan kawasan luar bandar sejak 10 Okt lepas hingga hari ini.

“Berdasarkan data daripada Persatuan Perhotelan Malaysia (MAH), untuk kawasan Ipoh mencapai 50 peratus (kadar penginapan) manakala data yang diperolehi menerusi Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menunjukkan hotel di bawah MPT mencatatkan 56 peratus kadar penginapan.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) pula, kawasan luar bandar termasuk Tanjung Malim, Tapah, Manjung, Kuala Kangsar dan Taiping mencatatkan 46.1 peratus kadar penginapan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -