Program asas untuk gerak dan serlahkan PAS Cawangan

- Advertisement -

DI SELURUH negara, PAS Kawasan-kawasan akan menganjurkan Mesyuarat Agung mereka pada hujung minggu ini. Mesyuarat Agung ini akan berlangsung setelah Dewan-dewan PAS dan Cawangan-cawangan PAS menganjurkan Mesyuarat Agung mereka.

Cawangan-cawangan PAS adalah komponen PAS di peringkat akar umbi. Ia adalah komponen PAS yang paling penting kerana ia berhadapan secara langsung (direct) dengan masyarakat. Segala perancangan sama ada dari PAS Pusat, Badan Perhubungan Negeri atau PAS Kawasan tidak akan berjaya sepenuhnya jika Cawangan-cawangan tidak melaksanakannya. Segala teori atau usul perlu terjemahkan kepada gerak kerja – gerak kerja yang berkesan di peringkat Cawangan.

- Advertisement -

Justeru itu Cawangan-cawangan mestilah sentiasa aktif dan bersedia untuk melaksanakan segala arahan dari pimpinan. Pimpinan Cawangan-cawangan memiliki tugas yang penting untuk menggerakkan dan memotivasi pimpinan dan ahli-ahli Cawangan mereka.

Berikut adalah secara ringkas bagaimana ia boleh dilakukan dengan tenaga kerja dan kos yang minima:

1. Pertemuan yang kerap dan berjadual.

Ahli-ahli Cawangan perlu kerap bertemu agar Cawangan kekal aktif. Perlu ada keinginan untuk bertemu kerana terdapat pertautan hati-hati di antara mereka. Sepatutnya mereka tidak memerlukan orang luar seperti pimpinan PAS Kawasan atau seorang Ustaz untuk mengumpul ahli-ahli Cawangan seminggu sekali atau dua minggu sekali. 

Malah ketika pandemik, pertemuan boleh diadakan secara di atas talian (online) dengan menggunakan aplikasi seperti Google Meet. Setiap Cawangan perlu kumpulan media sosial mereka seperti WhatsApp dan Telegram untuk memudahkan perhubungan di kalangan ahli-ahli.

Di kedai-kedai Mamak atau warung-warung, kadang-kala terdapat mereka yang hampir setiap malam berlonggok di situ. Selalunya mereka duduk di dalam kumpulan yang sama membincangkan perkara-perkara dari politik semasa kepada bola sepak. Sudah tentu terdapat pertautan hati-hati di kalangan mereka sehingga sanggup meninggalkan rumah setiap malam. Untuk Cawangan pula, sama ada mesyuarat, Usrah, sembang santai atau ngeteh akan dapat mengukuhkan hubungan di kalangan ahli-ahli sepertimana ‘geng kedai Mamak’ tersebut.

2. Ziarah ahli dan anggota masyarakat.

Program ziarah adalah penting kerana ia menunjukkan keprihatinan kita. Ia tidak melibatkan kos yang tinggi tetapi anda hanya perlu meluangkan masa dan mungkin sedikit cenderahati. Cawangan anda boleh menziarahi anggota masyarakat seperti mereka yang uzur, ditimpa musibah atau warga emas. Selain dari itu, jangan lupa kepada ahli-ahli Cawangan yang mungkin lama tidak kelihatan di atas sebab-sebab mereka tersendiri seperti uzur atau dibelenggu dengan masalah peribadi. 

Ketika berkempen semasa pilihan raya, petugas-petugas parti akan menziarahi pengundi. Lebih baik anda menziarahi mereka lebih awal dari ditempelak, ‘Masa pilihan raya baru nak tunjuk muka’. Agar program ini lebih berkesan, Cawangan anda perlu menyiapkan senarai penduduk di lokaliti anda yang memerlukan perhatian Cawangan anda. Ziarahi mereka secara bergilir-gilir.

3. Kutipan tabung Cawangan.

Sumber kewangan PAS adalah dari ahli-ahli. Mereka sanggup berkorban bukan sahaja masa tetapi juga wang ringgit. Tetapi sekiranya jumlah yang diminta adalah besar seperti untuk Pilihan Raya Umum atau untuk program-program yang besar, sudah tentu bukan semua yang dapat melakukannya.

Adalah lebih berkesan jika Cawangan membuat pungutan secara konsisten, sedikit demi sedikit akhirnya menjadikannya jumlah yang besar dan tidak terasa atau membebankan. Cawangan boleh membekalkan ahli-ahli dengan tabung yang akan diisi setiap hari contohnya selepas solat Subuh. Bukan sahaja cara sedemikian lebih berkesan, ia juga dapat memastikan ahli-ahli sentiasa mengingati PAS. Walaupun kita berada di dalam era QR Codedan direct debit seperti skim Infaq Istiqamah namun cara-cara tradisional jangan dilupakan.

4. Edaran risalah.

Di dalam dunia yang dikuasai oleh media sosial, maklumat berada di hujung jari. Cawangan anda boleh menyebarkan berita, kenyataan akhbar, fikrah pimpinan atau apa sahaja boleh yang memberi manfaat kepada PAS secara khusus atau Islam secara am. Setiap Cawangan perlu memiliki akaun Facebook, Instagram dan Twitter untuk memudahkan penyebaran maklumat.

Walaupun media elektronik lebih menyerlah dari media cetak namun anda boleh juga menyebarkan risalah atau buletin yang dicetak khusus untuk Cawangan anda. Yang paling mudah adalah dengan memuat turun dari laman-laman web seperti Harakahdaily. Masih terdapat ‘orang lama’ yang selesa dengan media cetak. Selain dari itu ia dapat menzahirkan Cawangan anda di lokaliti anda.

5. Menganjurkan gotong-royong atau program kemasyarakatan yang lain.

Program-program kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan longkang, kubur, taman permainan, surau dan tempat-tempat awam dapat menzahirkan keprihatinan Cawangan anda di samping menyumbang kepada keselesaan dan kesejahteraan masyarakat.

Hari ini rakyat Malaysia didedahkan kepada pertelingkahan ahli-ahli yang berebut kuasa tanpa memikirkan kesan kepada rakyat. Ada telah bosan dengan politik dan PAS boleh memainkan peranan untuk mengubah persepsi ini. Program-program kemasyarakatan seperti ini dapat membuktikan bahawa PAS bukan seperti parti-parti lain yang bercakaran.

6. Memperjuangkan isu-isu tempatan.

Cawangan-cawangan perlu mengetahui masalah yang dihadapi oleh penduduk di lokaliti mereka. Sama ada jalan berlubang, longkang pecah, sampah lambat diangkat, anjing liar yang berkeliaran, rumput tidak dipotong, kadar jenayah yang meningkat dan banyak lagi perlu berada di dalam radar Cawangan.

Tetapi bukan sekadar mengetahui, ia perlu disusuli dengan tindakan seperti menulis surat atau menghantar emel kepada pihak yang tanggungjawab. Cawangan juga boleh menghantar delegasi berjumpa mereka. Libatkan penduduk tempatan agar mereka sedar peranan anda.

7. Membuat laporan polis atau mengeluarkan kenyataan akhbar.

Ada lebih dari seribu satu sebab kenapa Cawangan anda boleh membuat laporan polis menggesa agar pihak polis bertindak. Di antaranya adalah terhadap mereka yang menghina agama Islam, mempertikaikan hak keistimewaan orang-orang Melayu atau mencetuskan ketegangan di dalam masyarakat. Cawangan anda juga boleh membuat laporan polis agar mereka menyiasat sebarang penyelewengan telah didedahkan. Jangan merasa kerdil kerana jika berpuluh-puluh malah beratus-ratus Cawangan membuat laporan yang sama maka impaknya adalah besar.

Cawangan anda juga boleh mengeluarkan kenyataan akhbar untuk isu-isu tertentu contohnya untuk menyokong pendirian PAS Pusat. Kenyataan akhbar dan laporan polis boleh dibuat untuk isu-isu tempatan. Walau bagaimanapun pastikan ia selari dengan pendirian PAS Pusat.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4762200467132246/

- Advertisement -