Tema keadilan dalam ucaptama Abu Bakar As-Siddiq

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 14)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

SELEPAS Nabi SAW wafat, lompang besar berlaku kepada kepimpinan umat Islam di Madinah. Tidak ada lagi nabi lain yang akan menggantikan Nabi Muhammad SAW. Yang ada hanyalah menurut jejak langkah Baginda. Para Sahabat Nabi yang telah dididik oleh Nabi inilah yang meneruskan legasi Baginda dari semua sudut kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara seperti cara masuk tandas hinggalah perkara besar melibatkan ummah dari sudut kepimpinan.

Justeru, lompang besar kepimpinan ummah tanpa Nabi itu diisi oleh orang yang paling hampir dengan Baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq ra. Abu Bakar dua tahun lebih tua daripada Nabi. Berkawan baik semenjak muda, berterusan hingga Muhammad SAW dilantik menjadi Nabi dan rasul. Kelebihan Abu Bakar diketahui ramai. Jika iman Abu Bakar diletak pada satu neraca, dan iman semua orang lain di neraca satu lagi, nescaya berat iman Abu Bakar.

- Advertisement -

Ibn Saad, Al-Mahamili dan lain-lain mengeluarkan dari Urwah, katanya: Apabila Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, beliau berucap kepada orangramai. Beliau memuji Allah, menyebut baik nama-Nya, kemudian berkata: “Wahai manusia! Sungguhnya aku dilantik menguruskan hal ehwal kamu. Bukanlah aku ini orang terbaik di kalangan kamu. Quran telah turun. Sunnah Nabi telah ditetapkan. Kita tahu orang paling cerdik ialah yang bertaqwa. Orang yang paling bodoh ialah yang buat dosa. Orang paling kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku hingga aku ambil haknya untuknya. Orang yang paling lemah di kalangan kamu, kuat di sisiku hingga aku ambil hak darinya.
Wahai manusia! Aku hanyalah orang yang mengikut Nabi, bukan mereka-reka. Kalau aku baik, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, maka betulkanlah aku.
Aku menyebut kataku ini, dan aku memohon ampun kepada Allah untukku dan untuk kamu.’
Dalam riwayat lain: “Maka taatilah aku selama mana aku taatkan Allah. Apabila aku derhakakan Allah dan rasulNya, maka tiada taat untukku ke atas kamu”.
(Hayatus-Sahabah, Al-Kandahlawi 3/426-427)

Ucaptama Abu Bakar ketika menjadi khalifah tidak panjang dan meleret, tapi penuh makna dan mendalam.

Bayangkan jika anda menggantikan tempat seorang yang ternama dan hebat, tentu anda terasa diri anda sebagai ‘somebody’ yang hebat. Rasa ujub akan menyelinap masuk dalam diri.

Namun Abu Bakar tidak demikian. Permulaan ucaptamanya penuh kerendahan diri, walaupun beliau telah diiktiraf oleh Nabi dari sudut kelebihan yang banyak. “Aku dilantik menjadi ketua kamu tapi bukanlah aku yang terbaik,” Satu ucapan yang datang dari hati, bukan dibuat-buat.

Abu Bakar memberikan penekanan kepada panduan sebenar untuk umat iaitu Al-Quran dan Sunnah. Walaupun Nabi telah tiada, tetapi pedoman sudah ditinggalkan. Umat tidak akan sesat apabila menuruti panduan ini.

Nilai cerdik dan bodoh pula ialah adanya taqwa atau berbuat jahat. Neraca penilaian yang tidak sama dengan penilaian orang lain atau kelompok lain mengenai cerdik dan bodoh. Abu Bakar menyebut perkara ini supaya masyarakat menilai sesuatu dengan betul.

Begitu juga mengenai hak orang yang lemah yang diambil dari orang yang kuat. Hak masing-masing diberikan dengan sewajarnya dan saksama.

Ucapan hebat dari seorang sahabat Nabi yang hebat. Menggantikan Nabi memimpin umat. Biar selamat dunia akhirat. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -