Palestin: PAS selari dengan pendirian rasmi kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS selari dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia menegaskan bahawa Israel yang dikuasai oleh Zionis Yahudi adalah kerajaan haram yang dibina di atas bumi dan negara Palestin yang dirampas sejak 1948.

Penegasan itu dicapai pada Muzakarah Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) PAS yang bersidang secara maya pada 18 Mei lalu, kata Setiausaha MSU, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, muzakarah juga menegaskan kesan pencerobohan Zionis Yahudi itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa ratusan ribu rakyat Palestin manakala jutaan mereka terusir keluar daripada negara sendiri dan menimbulkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.

- Advertisement -

“Tindakan Zionis Yahudi di negara haram Israel menyerang, membunuh dan merampas bumi umat Islam Palestin adalah sebenar-benar keganasan yang layak untuk pelakunya digelar sebagai pengganas dan terroris serta merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara yang ada,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, MSU menegaskan sebarang penentangan oleh rakyat Palestin terhadap pencerobohan Zionis Yahudi demi mempertahankan tanah air, nyawa, kehormatan dan harta benda mereka adalah perjuangan yang menepati hak asasi rakyat yang dizalimi.

Justeru, tegasnya sebarang usaha normalisasi dengan Zionis Yahudi dan kerajaan haram Israel yang merupakan talian hayat kepada rejim penjajah itu perlu ditolak dan disanggah dengan tegas.

“Kesatuan dan perpaduan umat Islam dengan pelbagai aliran dan mazhab serta gabung jalin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuhkan dalam menghadapi kezaliman Zionis Yahudi,” ujarnya lagi.

Menurutnya, MSU menyeru umat Islam dan masyarakat seluruh dunia bersama membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka di bumi yang dijajah dan dirampas oleh Zionis Yahudi dengan pelbagai cara sama ada menerusi kuasa politik dan suara diplomatik di peringkat antarabangsa mahupun kuasa ekonomi melibatkan harta benda dan sebagainya.

Beliau berkata, PAS mendesak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) untuk menggandakan peranan menggembleng tenaga umat Islam bagi memperjuangkan perlindungan antarabangsa kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat sekali gus menolak sebarang ancaman daripada serangan serta gerakan penjajahan rejim Zionis Israel.

“Seluruh umat Islam diseru untuk sentiasa melakukan Qunut Nazilah memohon keselamatan untuk umat Islam Palestin,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -