Perlis had aktiviti imarah masjid sepanjang PKP

- Advertisement -

ARAU: Mengambil kira peningkatan penularan Covid-19 di Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menghadkan aktiviti imarah masjid bermula hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tindakan itu dikuatkuasakan selepas wujud kluster baharu melibatkan sebuah agensi perkhidmatan di Kampung Bakau, Kangar.

- Advertisement -

Titah baginda semua aktiviti solat secara berjemaah termasuk solat lima waktu dan solat Jumaat hendaklah dilaksanakan tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang 3 orang termasuk imam dan khatib.

“Kebenaran khas juga diberi kepada anggota keselamatan yang bertugas mengawal aktiviti pengimarahan,” titah baginda pada satu kenyataan.

Baginda juga Yang Dipertua MAIPs bertitah masjid tidak dibuka kepada awam, sebaliknya dibenarkan hanya dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Menurut baginda juga laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain (حى على الصلاة، حى على الفلاح) kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu).

Manakala tempoh masa bermula azan hingga selesai solat di masjid termasuk solat Jumaat adalah 15 minit sahaja.

Justeru titah baginda umat Islam digalak menunaikan solat fardu berjemaah di rumah dan menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor.

“Aktiviti lain seperti pengajian, kuliah, jamuan, dan seumpamanya tidak dibenarkan di masjid buat masa ini dan sebagai alternatif rakyat boleh meneruskan pengajian secara dalam talian,” titah baginda.

Antara alternatif yang disediakan di Perlis termasuk ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel.

Walau bagaimanapun titah baginda, MAIPs sentiasa meneliti perkembangan terkini penularan wabak dan akan menetapkan keperluan terkini dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -