Pengurusan emosi menurut al-Quran

- Advertisement -

NAMA Maryam diulang sebanyak 34 kali di dalam al-Quran dan direkodkan sebagai salah satu nama surah, hal ini menggambarkan kekuatan personaliti Maryam dan darjatnya mulia di sisi Allah. 

Dilahirkan dari rahim wanita yang taat iaitu Hannah, isteri Imran yang bernazar untuk menginfaqkan anak di dalam kandungannya untuk berkhidmat di Baitul Maqdis. Nazar tersebut menunjukkan Hannah dan Imran yang bertekad mahukan anak dalam kandungan tersebut bebas dari gaya hidup masyarakat Bani Israil yang memuliakan dan membanggakan anak-anak lelaki mereka:

- Advertisement -

إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَ ٰ⁠نَ رَبِّ إِنِّی نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِی بَطۡنِی مُحَرَّرࣰا فَتَقَبَّلۡ مِنِّیۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.””

(Ali Imran: 35)

Mereka mahu Maryam bebas dari urusan dunia dan berkhidmat kepada Allah semata-mata.

Tekanan dan peningkatan potensi

Tekanan atau stres merupakan keadaan normal yang dilalui oleh setiap manusia. Kita memerlukan tekanan dengan kadar yang mencukupi sebagai daya penolak untuk kekal optimum berfungsi. Ini bermakna tekanan yang normal akan menjadikan kita lebih kreatif dan membuka ruang terhadap potensi lain untuk dikembangkan. Semakin ditekan, semakin berkembang.

Dengan pengawasan Allah dan Nabi Zakaria, Maryam merupakan satu-satunya wanita yang duduk di sisi Baitul Maqdis yang didominasi oleh lelaki, para biarawan menolak keras keberadaan wanita di tempat suci. Keadaan yang serba mencabar tersebut membentuk daya tahan dan kemampuan yang luar biasa untuk menguruskan emosi. 

Adapun tekanan yang tidak normal pula, berterusan untuk jangka masa yang panjang dan memberi kesan yang teruk kepada fizikal, emosi serta tindakan sehingga tidak mampu menjalankan fungsi harian dengan baik.

Dukacita yang dalam

Ekoran dari proses adaptasi terhadap perubahan fizikal dan psikologi di fasa-fasa akhir mengandung, Maryam mengalami dukacita dan kerisauan yang melampau mengenangkan nasibnya dan anak di dalam kandungan:

فَأَجَاۤءَهَا ٱلۡمَخَاضُ إِلَىٰ جِذۡعِ ٱلنَّخۡلَةِ قَالَتۡ یَـٰلَیۡتَنِی مِتُّ قَبۡلَ هَـٰذَا وَكُنتُ نَسۡیࣰا مَّنسِیࣰّا

“(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!”

(Maryam: 23)

Allah tenangkan Maryam dengan dua perkara:

1. Allah hadirkan Jibril sebagai support system yang membawa khabar gembira dan harapan kepada Maryam. Bukan menghukum Maryam kerana seolah-olah dilihat tidak kuat memikul perintah:

فَكُلِی وَٱشۡرَبِی وَقَرِّی عَیۡنࣰاۖ

“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan..”

(Maryam: 26)

2. Allah memenuhi keperluan asas yang diperlukan oleh Maryam iaitu dari sudut makanan. Faktor setiap orang mengalami tekanan adalah berbeza kerana perbezaan latar belakang, jadi kita tidak sepatutnya memberi solusi simplistik tanpa melihat punca masalah. Jalan yang terbaik adalah cuba jadi pendengar yang baik.

Coping strategy

Menunaikan nazar merupakan perkara yang sangat dititik beratkan oleh Bani Israil. Untuk menjaga emosi Maryam, dia diperintahkan untuk mengatakan bahawa dia bernazar untuk tidak bercakap dengan orang sekeliling bagi menutup ruang bicara yang mungkin akan lebih mengganggu emosinya:

 فَإِمَّا تَرَیِنَّ مِنَ ٱلۡبَشَرِ أَحَدࣰا فَقُولِیۤ إِنِّی نَذَرۡتُ لِلرَّحۡمَـٰنِ صَوۡمࣰا فَلَنۡ أُكَلِّمَ ٱلۡیَوۡمَ إِنسِیࣰّا

“Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.

(Maryam: 26)

AINA MOKHTAR
10 Oktober 2021
Kaunselor Pelatih

Rujukan:

1. Fenomena Tekanan Jiwa, Ustaz Abdul Muizz Muhammad
2. Pengurusan Emosi Dalam Kisah Nabi Yusuf
3. Women and Emotional Competence from the Narrative of Maryam in al-Quran
4. Emotional Intelligence – HARAKAHDAILY 11/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100001230314912/posts/4594645547253077/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -