Wanita banyak fungsi walau di mana posisi mereka

- Advertisement -

ALLAH SWT telah menciptakan dunia dan seluruh isinya untuk manusia. Kemudian Allah SWT menciptakan manusia dalam dua jenis iaitu lelaki dan wanita yang ditakdirkan untuk saling bekerjasama dalam membina hidup di dunia untuk mencapai keredhaan-Nya. Peranan wanita dalam persekitaran digital sudah banyak berubah berbanding peranan tradisional. Wanita tidak hanya memikul tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga, malah turut menyumbang kepada kedudukan ekonomi keluarga dengan bekerja mencari sumber pendapatan. Wawancara moderator DR ASMA LAILEE MOHD NOOR yang mewakili HARAKAH bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, DATO’ MUMTAZ MD NAWI mengulas tentang cabaran pemimpin wanita supermom.

Harakah: Apakah asas, dasar dan landasan untuk kita memahami konsep kepimpinan wanita? Bagaimana dan sejauh manakah agama Islam dan agama lain serta budaya kita meraikan perkara ini?

- Advertisement -

Mumtaz: Saya nak mulakan jawapan kepada soalan tadi dengan membaca sepotong ayat Al-Quran daripada Surah At-Taubah, ayat 71. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”

Pemimpin ini sama ada lelaki atau perempuan yang beriman, perlu sama-sama tolong-menolong melakukan kerja-kerja kebaikan dan mencegah kemungkaran. Maknanya membuat satu undang-undang legislatif di mana-mana peringkat untuk mereka melakukan kerja-kerja yang baik untuk umat.

Kemudian, pada masa yang sama kerja-kerja penguatkuasaan dan pencegahan perlu juga dibuat oleh pihak pemimpin tadi bersama dengan jentera mereka. Mereka juga perlu mendirikan solat (asas). Mereka juga perlu memakmurkan ekonomi sehingga boleh mereka mengeluarkan zakat, serta mematuhi perintah Allah dan Rasul berpandukan Al-Quran. Nescaya mereka ini akan diberikan rahmat oleh Allah SWT. Maknanya orang yang terlibat dalam kepimpinan, lelaki dan wanita yang beriman maka mereka perlu dan mereka akan menerima rahmat daripada Allah SWT. Allah itu Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.

Selalu kita dengar wanita tidak boleh memimpin. Kepimpinan bukan hanya peringkat tertinggi, tetapi turut melibatkan pengurusan. Dari peringkat tertinggi hingga peringkat yang terbawah harus menjadi terbaik. Kepimpinan juga banyak melibatkan proses membuat keputusan, menyatakan pandangan dan sebagainya. Pelbagai mehnah dan tribulasi bakal dihadapi. Dalam hal ini, Allah memuliakan golongan wanita sebagai pemimpin. 

Dalam hal ini wanita mempunyai banyak fungsi walau di manapun posisi mereka semenjak zaman Firaun, perjuangan kemerdekaan dan banyak lagi. Sejarah keagungan Ratu Balqis sebagai pemerintah kerajaan Saba’, sebagai bukti bahawa wanita terlibat dalam arena kepimpinan ini sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutus oleh Allah sebagai nabi dan rasul. Di zaman Rasulullah s.a.w sendiri, walaupun wanita tidak memegang tampok kepimpinan, namun mereka adalah golongan pertama yang memberi ketaatan dan bai’ah dengan membenarkan kenabian Muhammad s.a.w iaitu isteri baginda Saidatina Khadijah. Di samping itu, wanita juga tidak asing dalam pembuatan keputusan oleh Rasulullah s.a.w kerana mereka turut sama memberi pandangan seperti yang berkaitan dengan kedudukan mereka dalam peperangan.

Al-Quran itu perlu kita baca dan dapatkan garis panduan daripadanya untuk kita memimpin. Apa yang menariknya lagi, hampir 400 nama-nama yang tercatat sepanjang 40 tahun khulafa’ Ar-Rasyidin memerintah dan itupun masih terlalu banyak yang kita masih belum terokai.

Kebertanggungjawaban bukan sahaja menunjukkan wanita lagi baik dari segi kepimpinan, tetapi tanggungjawab terhadap amanah yang Allah SWT kurniakan. Selain itu juga, ilmu adalah penting dalam kita menerajui jawatan atau apa-apa sahaja kepimpinan. Diharap kerajaan kita mengangkat peranan wanita dalam kepimpinan.

Dato’, pemimpin wanita ini tidak lahir dalam sekelip mata. Mereka perlu dilatih, disiapsiagakan seperti mana mutiara yang perlu digilap untuk mendapat kilauannya. Apa sebenarnya ciri-ciri yang perlu ada pada pemimpin wanita untuk menjadi berkaliber dan berwibawa?

Pertama, siapa sebenarnya yang dikatakan pemimpin wanita itu. Perkataan pemimpin itu sendiri berkaitan dengan tanggungjawab. Menjadi pemimpin adalah tanggungjawab kita semua kerana setiap dari kita dilahirkan sebagai pemimpin. Sama ada menjadi pemimpin keluarga, pemimpin organisasi, masyarakat mahupun diri sendiri. Antara kriterianya adalah beriman, berilmu, pengalaman yang mencukupi, berkeyakinan, berintegriti, berketrampilan, bersinergi dan punyai kekuatan diri.

Suri rumah, kepimpinan mereka diperlukan bukan hanya sekadar di rumah. Dato’, bagaimana model terbaik untuk dikongsi bersama masyarakat.

Sebaik-baik model adalah dari keluarga baginda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Sayidatina Khadijah r.a. dan Sayidatina Fatimah r.a. Namun begitu, di sini saya bagi contoh di negeri Kelantan. Kelantan mempunyai satu dasar untuk wanita iaitu Dasar Wanita Negeri Kelantan yang telah digubal pada tahun 2000. Kemudian, pada tahun 2019, plan tindakan dasar yang lebih komprehensif dirangka iaitu Gagasan Wanita Kelantan (SOLEHAH). Pada tahun yang sama, resolusi persidangan IMWU (International Muslim Women Union) yang dinamakan Deklarasi Kota Bharu telah dihasilkan bersempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK 2019). Pada tahun 2020, Dasar Wanita Kelantan telah disemak semula dan diperkemaskan lagi perinciannya. Gagasan Wanita Solehah merangkumi lima matlamat utama iaitu mukminah, bijaksana, dinamik, cakna dan sakinah.

Antara skop dan peranan suri rumah adalah sebagai pembekal sumber insan terpenting kepada ummah. Pembentuk akidah, akhlak, jati diri, minda, fizikal dan emosi dalam ekonomi, politik dan sosial. Asas dalam perwatakan jati diri sebuah bangsa dan bahasa. Kajian saintifik kecerdikan anak berasal dari ibu. Ibu bijak anak-anak bijak. Tapak semaian dan nurseri kedua setelah keluar dari rahim ibu (sebuah rumah tangga). Pendidikan awal dan asas tentang ummah dan negara bermula di rumah.

Apakah strategi yang terbaik untuk memahami budaya, nilai, tingkah laku dalam kalangan masyarakat seperti kakitangan, dan ahli keluarga sebagai orang yang kita pimpin?

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat: ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha teliti.”

Alhamdulillah, ini adalah satu kaedah atau formula daripada Allah SWT terutama bila hendak membuat sesuatu perubahan. Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang ada pada mereka.

Perubahan ini pula perlu seiring dengan keadaan semasa. Hendak melakukan perubahan seorang diri kita tidak cukup kuat. Kaum lelaki pun tidak mampu apatah lagi perempuan. Kerajaan Malaysia pada hari ini ada menyebut tentang keluarga Malaysia sebab Perdana Menteri hendak bawa seorang tidak akan boleh. Sebab itu memerlukan kerajaan kecil untuk menggerakkan gerabak-gerabak kecil agar bergerak kedepan.

Budaya Iqra’ telah diajar oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW iaitu transformasi revolusi ilmu (Knowledge based and expertise based). Dengan budaya membaca selesai banyak masalah. Hendak melakukan perubahan ini kita mesti ada iman dan ilmu. Mengendalikan masyarakat bagi bergerak ke depan berasaskan kepada iman dan ilmu.

Bila iman based tidak akan ada pihak yang menentang kecuali mereka yang tidak beriman atau munafik. Knowledge based juga boleh ditolak juga memerlukan satu nilai ilmu. Kemudian perlu seiring dengan goal based. Insya-Allah satu gerak kerja secara berjemaah dapat dijayakan.

Akhir sekali, apakah nasihat Dato’ mengenai wanita yang menjadi suri rumah pada masa ini. Zaman teknologi yang semakin canggih ini, dikatakan cukup memberi tamparan pada golongan wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah sepanjang masa.  

Pertama, you cannot be a supermom kecuali you datang dari superwoman. Kalau kita terpelajar, anak kita perlu jadi terpelajar juga. Perlu seimbang dan memahami antara satu sama lain.

Kedua, back to basic. Bila dalam rumah tangga, kita kena ada share atau berkongsi, complementing each other and etc. Ada barang-barang cantik gunakannya. Jangan hanya disimpan. Tunjukkan something yang berbeza sebagai contoh masa dapat gaji banyak, bawa ahli keluarga makan malam misalnya. Gaji sikit, buat kek hari lahir dan celebrate birthday anak atau ahli keluarga di rumah sahaja. At least semua tahu kondisi masing-masing tanpa ditinggalkan. Share masalah dan susah senang bersama.

Ketiga, dalam hidup ini memang setiap orang tidak akan terlepas daripada cabaran. Manusia tanpa cabaran adalah gila. Tetapi kita semua di train ada akal. Jadilah seorang yang problem solver jangan jadi problem maker.

Keempat, pilihlah pemimpin dalam kalangan wanita atau lelaki yang baik, dan ikut apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang. Jangan pula kita pilih atau dukung pemimpin yang terang-terangan melanggar ajaran Islam. Moga setiap pilihan yang kita lakukan, kita dapat bersama Rasulullah s.a.w. dan srikandi wanita yang hebat di syurga Allah SWT. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -