Bapa Senjata Nuklear Islam kembali ke rahmatullah

- Advertisement -

SEDIHNYA kita umat Islam di seluruh dunia hari ini apabila semalam Dr. Abdul Qadeer (AQ) Khan, tokoh ‘Bapa Senjata Nuklear Pakistan’ baru sahaja kembali ke Rahmatullah. Besarnya jasa Allahyarham bukan sahaja menjadikan Pakistan satu-satunya negara Islam berkuasa nuklear hingga ke hari ini, tetapi juga berjaya menstabilkan seluruh Asia Selatan daripada dominasi India yang terlebih dahulu membina senjata nuklear.

Segalanya bermula pada tahun 1974 apabila India secara mengejut melancarkan ujian nuklear ‘Smiling Buddha’, bakal mengundang malapetaka kerana sebelum itu telah berlangsung perang yang hampir tidak berkesudahan antara India dan Pakistan. Maka Allahyarham yang dikenali sebagai Dr. AQ Khan bertekad untuk menyumbang kepada pembangunan senjata nuklear negaranya. 

- Advertisement -

AQ Khan cukup genius, dalam usaha mencipta senjata nuklear untuk Pakistan, beliau telah menghasilkan inovasi rekaan pengemparan (centrifuge) baharu yang lebih ringkas berbanding rekaan konvensional yang digunapakai negara-negara kuasa besar nuklear yang lain. Akhirnya, pada 28 Mei 1998 Pakistan mencatat sejarah sebagai negara Islam pertama berkuasa nuklear apabila berjaya menjalankan lima ujian bawah tanah Chagai-l.

Allahyarham tidak berhenti sekadar penciptaan senjata nuklear Pakistan, sebaliknya beliau telah berusaha untuk berkongsi teknologi tersebut dengan Libya, Iran, dan Korea Utara; sekali gus mengundang kemarahan Presiden Amerika ketika itu George Bush.

Kembalinya Allahyarham semalam merupakan suatu kehilangan yang cukup besar kepada umat Islam seluruh dunia. Bukan sahaja Allahyarham meletakkan Pakistan di peta dunia sebagai satu-satunya kuasa Islam dengan senjata nuklear, tetapi juga membuktikan bahawa umat Nabi Muhammad tidak ketandusan pakar persenjataan moden. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 11/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1518563074/posts/10219390153854072/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -