Wakaf berupaya jadi penyumbang sektor ketiga ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Yayasan Waqaf Malaysia telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Pembangunan Hartanah Wakaf di Malaysia pada 2016.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, namun pelan tersebut masih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, antara kekangan utama yang dikenal pasti merencatkan pelaksanaan pelan tersebut adalah dalam aspek pengurusan wakaf oleh institusi-institusi berkaitan wakaf, perundangan wakaf, pendanan dan pembiayaan pembangunan hartanah wakaf dan juga dalam aspek kesedaran dan pembudayaan wakaf di kalangan wakyat Malaysia yang masih rendah.

Lanjutan daripada itu, ujarnya Pelan Induk Wakaf Nasional sedang disediakan bagi merangka sebuah pelan yang lebih holistik untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia agar wakaf berupaya menjadi penyumbang kepada sektor ketiga ekonomi negara.

Tambahnya, dalam konteks penyediaan kemudahan pinjaman, kerajaan dalam pengumuman Belanjawan 2018 telah meluluskan pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada kakitangan awam bagi pembelian hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf.

Katanya lagi, RMK12 telah meletakkan pelbagai tindakan bagi merancakkan dan memanfaatkan wakaf bagi menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat yang inklusif.

“Bagi memperkukuh pembangunan Tanah Rizab Melayu dan Instrumen Wakaf, pihak berkuasa negeri digalakkan untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu dan tanah wakaf dengan kerjasama agensi Persekutuan,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau Pelan Induk Bersepadu mengenai pembangunan Tanah Rizab Melayu, tanah wakaf dan instrumen wakaf akan digubal untuk menyediakan rangka kerja bagi pembangunan sosioekonomi di peringkat negeri dan tempatan.

“Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi menyedikan hala tuju yang menyeluruh berkaitan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan tanah wakaf,” ujar beliau.

Beliau menambah, satu undang-undang mengenai pembangunan tanah wakaf akan diperkenalkan di peringkat persekutuan yang akan menjadi garis panduan berkaitan pembangunan tanah wakaf di seluruh negara.

“Kesemua usaha pembangunan wakaf ini dilakukan dengan mengiktiraf kedudukan Majlis Agama Islam negeri sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi membolehkan kesemua cadangan yang dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjadi kenyataan, konsep cooperative federalism perlu diaplikasi bagi membolehkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pembangunan tanah wakaf direalisasikan secara efektif dan efisien serta dengan penuh tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 8/10/2021

- Advertisement -