Lebih 800 pelajar cemerlang dapat saguhati RM500

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

MACHANG:
Sumbangan saguhati sebanyak RM500 kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetap dilaksanakan.

Bagaimanapun dengan mengambil Kelantan masih dilanda Covid-19 majlis penyampaian seperti yang lazim diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) tidak dapat dilaksanakan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penyampaian saguhati itu akan diadakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

- Advertisement -

Katanya tahun ini lebih 800 pelajar cemerlang daripada pelbagai bangsa di negeri itu mendaftar bagi mendapat saguhati sumbangan kerajaan negeri.

“Pelajar cemerlang berkenaan telah mengisi borang dan kita hanya tunggu masa untuk membuat pembahagian.

“Gimik penyampaian akan diadakan di Kota Darulnaim dijangka disampaikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 58 pelajar Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Hasaniah Pangkal Jenereh, dekat sini semalam.

Pelajar terbabit menerima sumbangan daripada Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan (Purnama) dan biasiswa Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Dr Mohamed Fadzli berkata, pelajar cemerlang peperiksaan SPM, STAM dan STPM akan menerima saguhati RM500 disampaikan wakil rakyat di setiap Dun masing-masing.

Pemberian saguhati kepada pelajar cemerlang di Kelantan diadakan sejak lebih 10 tahun lepas sebagai menghargai kejayaan mereka.

Malah wakil-wakil rakyat di Kelantan juga menyampaikan sumbangan lain kepada pelajar yang berjaya melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi. – HARAKAHDAILY 8/10/2021

- Advertisement -