Airport Pengkalan Chepa sesuai hub penerbangan Asia Tenggara

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa bakal menggunakan reka bentuk yang canggih dan berkonsep moden.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, dengan kelengkapan dan kemudahan yang lebih canggih, ia dijangka menjadi pilihan orang ramai apabila siap sepenuhnya.

“Kita difahamkan kerja-kerja awal penambahbaikan sedang dilakukan dan ia dijangka berlangsung selama 36 bulan.

- Advertisement -

“Apa yang menarik LTSIP akan menjadi salah satu lapangan terbang yang canggih dengan konsep lebih moden.

“Malah ia sangat sesuai untuk persediaan naik taraf dijadikan lapangan terbang antarabangsa pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Projek menaik taraf lapangan terbang terbabit melibatkan kos RM440 juta sedang giatkan dijalankan termasuk membabitkan pembinaan balai ketibaan dan berlepas secara berasingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata, projek pembesaran dan naik taraf lapangan terbang terbabit bermula April lepas.

Lapangan terbang itu sekarang hanya menampung 1.5 juta penumpang setahun. Dan apabila siap nanti boleh menampung sehingga empat juta penumpang.

Mohd Amar juga berkata, lapangan tersebut diharapkan boleh menjadi permulaan untuk dijadikan hub penerbangan Asia Tenggara.

“Ini memandangkan Kelantan dekat dengan Indo-China, Australia dan sebagainya. Semoga projek berjalan dengan baik dan siap seperti dijadualkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -