PAS ikuti rapat krisis politik di Melaka

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS belum menetapkan sebarang pendirian dan keputusan berkenaan kemelut politik di Melaka ekoran penarikan sokongan empat Adun terhadap Ketua Menteri Dato’ Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Naib Presidennya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, parti itu memantau keadaan semasa di negeri terbabit sebelum membuat keputusan sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) atau sebaliknya.

Katanya Lajnah Politik PAS Pusat akan membincangkan perkara tersebut.

- Advertisement -

“Sekarang kita memantau walupun Dun Melaka sudah bubar tetapi belum ada sebarang riak untuk pilihan raya, mungkin ada beberapa pilihan lain.

“Biar kita bincang dahulu dan tengok apa yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Semalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka yang diketuai Umno mempunyai 17 Adun yang terdiri daripada 14 Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas tergugat.

Dua Adun Umno, seorang Bersatu dan Bebas menyatakan hilang sokongan terhadap Ketua Menteri. Berikutan itu kerajaan negeri hilang majoriti mudah.

Manakala pembangkang pula mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Mohd Amar juga berkata, PAS menerima pelbagai pandangan mengenai krisis politik yang berlaku di Melaka di mana perbincangan dibuat secara matang.

“Sebab itu kami akan buat penilaian sebelum membuat sebarang keputusan. Bimbang nanti ada perubahan. Namun sebarang keputusan nanti pastinya memberi kebaikan kepada rakyat.

“Kita tidak sangka berlaku pembubaran. Ingatkan hanya pertukaran Ketua Menteri, rupanya bubar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -