MOTAC sedia bantu pasar terapung di Pantai Suri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Dato’ Sri Nancy Shukri sedia untuk membantu pengusaha yang terbabit dengan pasar terapung di Tumpat.

- Advertisement -

Beliau berkata, ahli parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi hendaklah mengemukakan maklumat berkaitan operasi pasar tersebut untuk diteliti.

“Saya tidak tahu syarikat atau pihak mana yang terbabit dengan operasi pasar terapung tersebut. Jadi saya berharap YB dapat menghantar maklumat mengenainya,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat petang ini.

Sebelum itu Che Abdullah ketika mencelah berharap Kementerian Pelancongan menambah baik operasi pasar terapung di Tumpat untuk membolehkan mereka beroperasi semula.

Katanya pasar tersebut mendapat sambutan pelancong, namun sekarang tidak lagi beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Pasar terapung di Pulau Suri diperkenalkan bermula 2016. Pengunjung yang datang perlu menggunakan bot dari Jeti Kuala Besar dan jeti Kok Majid.

Selain itu di Kelantan juga terdapat pasar terapung di Pengkalan Datu, Kota Bharu, turut mendapat sambutan menggalakkan pelancong.

Nancy sebelum itu memberitahu kerajaan sedang membangunkan lokasi pelancongan di Kampung Laut, Tumpat yang dibangunkan di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Kampung Laut diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kampung tersebut terdapat Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun.

Projek pembangunan Kampung Laut fasa I berjumlah RM40 juta kini hampir siap sepenuhnya. Manakala fasa II pula akan bermula Januari 2022. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -