1.9 juta remaja terima dos pertama

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Seramai 1.9 juta atau 62.5 peratus remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, setakat semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata jumlah tersebut telah melepasi sasaran kerajaan untuk mencapai 60 peratus dos pertama pada November ini.

- Advertisement -

Selepas dua minggu PICK Remaja dimulakan pada 20 September lalu, katanya kerajaan berjaya mencapai 62.5 peratus dan ini suatu pencapaian yang sangat memberangsangkan.

“Sebanyak 343,000 atau 90.9 peratus remaja berumur 16 tahun dan 344,000 atau 92.8 peratus remaja yang berumur 17 tahun, pelajar Tingkatan 6 Semester 2, serta pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar telah mendapat suntikan pertama, hampir 90 peratus,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Noor Azmi berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pelaksanaan PICK Remaja dan berharap akan mencapai sasaran 80 peratus remaja lengkap dos menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, katanya hanya vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) diberikan dalam program PICK Remaja.

“Seperti ubat-ubatan lain, vaksin berkemungkinan mempunyai kesan sampingan yang dikenali sebagai Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI). Setakat ini, beberapa kes AEFI yang dilaporkan adalah ringan dan bersifat sementara seperti rasa sakit, bengkak, kemerahan di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit sendi, demam, loya dan rasa tidak sihat.

“Jika berlaku kesan yang serius susulan vaksin Covid-19, kerajaan pada 17 Mac lalu telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pemberian vaksin kepada remaja adalah secara sukarela dan ibu bapa bertanggungjawab membuat pilihan terbaik selepas membaca dan memahami maklumat mengenai vaksin yang dibekalkan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan akan terus berusaha memberikan penerangan berhubung faedah vaksin kepada ibu bapa dan remaja sebagai langkah untuk melindungi diri mereka dan anak-anak daripada jangkitan virus Covid-19. – HARAKAHDAILY 6/10/21

- Advertisement -